Hari ini 1,443 tahun Hijrah yang lalu, berlangsungnya Perang Badar.
Pertempuran ini adalah ujian besar pertama umat Islam selepas Nabi Muhammad SAW & pengikutnya di Mekah baru berhijrah ke Madinah, serta dianggap sebagai detik terpenting yang menentukan masa depan perkembangan Islam.
Ia bermula apabila Rasulullah SAW mendapat tahu ada rombongan karavan dagang, yang ditaja daripada hasil jualan harta umat Islam yang ditinggalkan ketika mereka berhijrah, sedang dalam perjalanan dari Syam (Syria) ke Mekah.
Maka Rasulullah SAW menghantar 313 orang untuk menyerang karavan tersebut di lembah Badar, kawasan di pertengahan laluan dagang antara Syam, Madinah & Mekah. Namun, pelan itu diketahui oleh Abu Sufyan RA, yang mengetuai rombongan karavan itu.
Lalu Abu Sufyan RA, yang ketika itu memusuhi Rasulullah SAW, menghantar utusan untuk memaklumkannya kepada pemimpin Quraisy di Mekah. Abu Jahal yang berang kemudian mengumpulkan sekitar 900 orang & berarak ke Badar untuk memusnahkan angkatan Islam.
Tentera Islam mendirikan kem di bahagian utara dekat laluan ke Syam, yang mana telaga air di situ dirosakkan lebih awal oleh tentera Quraisy yang berkampung di selatan, di pertengahan antara laluan menuju Mekah & Madinah.
Pertarungan bermula pada pagi 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah dengan tradisi kombat 3 lawan 3, yang berpihak ke tentera Islam. Berang, barisan hadapan tentera Quraisy Mekah menyerang dengan keyakinan dapat menghancurkan tentera Islam dengan mudah.
Bagaimanapun, angkatan kecil Islam itu dibantu dengan kehadiran ribuan tentera malaikat, sepertimana difirmankan Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 12, yang menyebabkan tentera Quraisy gugur semangat lalu akhirnya lari dari medan tempur.
Pertempuran berlangsung hanya dalam beberapa jam & berakhir menjelang tengahari. 14 orang tentera Islam gugur syahid, sementara 70 tentera Quraisy terkorban termasuk Abu Jahal & 70 lagi menjadi tawanan.
*Gambar lokasi pertempuran yang juga tapak persemadian mereka yang terkorban dalam Perang Badar.
Sumber: New World Encyclopedia, Al-Arabiya
#PeristiwaHariIni