combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Sebabkan Kematian Kanak-kanak 2 Tahun: Hukuman Bekas Pekerja Pasar Raya Dinaikkan Kepada 20 Tahun
Mahkamah Rayuan hari ini meningkatkan hukuman penjara bekas pekerja pasar raya daripada lapan tahun kepada 20 tahun bagi kesalahan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia berumur dua tahun yang berada di bawah jagaannya pada 2021.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Noorin Badaruddin, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Ketika menyampaikan keputusan itu, Noorin berkata hukuman penjara lapan tahun yang dijatuhkan ke atas Mohd Noor Ab Manap oleh Mahkamah Tinggi adalah tidak mencukupi kerana gagal mengambil kira beberapa keadaan sekitar yang penting termasuk hakikat bahawa mangsa adalah seorang kanak-kanak yang tidak berdaya dan berada di bawah jagaan serta tanggungjawab tertuduh.
Beliau berkata hukuman penjara 20 tahun mencapai keseimbangan yang wajar antara kepentingan tertuduh sebagai pesalah dengan kepentingan mangsa dan masyarakat.
Panel itu memerintahkan Mohd Noor, 36, menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 Nov 2021.
Dalam penghakimannya, Noorin berkata mangsa telah diamanahkan untuk dijaga oleh Mohd Noor dan isteri dengan bayaran bulanan sebanyak RM250.
Beliau berkata seorang kanak-kanak yang diletakkan di bawah jagaan orang dewasa berhak mendapatkan perlindungan dan penjagaan daripada individu yang diamanahkan untuk menjaga kebajikannya dengan sebaik mungkin.
“Dalam kes ini, kepercayaan itu telah dikhianati dengan akibat yang paling tragis, iaitu kehilangan nyawa mangsa,” katanya.
Noorin juga berkata kesulitan kewangan dan tekanan yang dihadapi Mohd Noor tidak boleh diberikan pertimbangan yang besar, serta menambah apa jua tekanan yang mungkin dialami tertuduh tidak menghalalkan dia melepaskan kemarahan kepada seorang kanak-kanak yang masih kecil dan tidak berdaya.