afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,296
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,296
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Saya akan terus berkhidmat untuk PKR, kata Nurul Izzah
Nurul Izzah Anwar berkata beliau akan terus menyokong usaha memperkukuh institusi, memelihara maruah, membuka peluang dan membina Malaysia yang lebih adil.
Berucap pada Kongres PKR di sini, Nurul Izzah berkata khidmat masyarakat perlu menjadi sebahagian daripada agenda reformasi parti, seperti yang dicadangkan Ketua Pemuda PKR Kamil Munim dalam ucapannya Jumaat lalu.
“Saudara dan saudari yang saya hormati, PKR akan terus memikul tanggungjawab ini. Saya juga akan terus memikul tanggungjawab itu, tetapi melalui saluran yang berbeza.
“Namun, kita tetap membawa hala tuju yang sama, iaitu memperkukuh institusi, memelihara maruah, membuka peluang dan membantu membina Malaysia yang lebih adil,” katanya.
Nurul Izzah turut berterima kasih kepada ahli PKR yang terus bersamanya ketika melalui waktu sukar, khususnya ketika bapanya, Presiden PKR dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dipenjarakan.
Minggu lalu, Nurul Izzah mengumumkan hasrat melepaskan jawatan timbalan presiden PKR bagi melanjutkan pengajian. Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dipilih ke jawatan berkenaan pada pemilihan parti tahun lalu.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil sebelum ini menjelaskan Nurul Izzah hanya akan mengambil cuti sementara daripada tugas sebagai timbalan presiden selepas Kongres Nasional PKR.
Menurut Fahmi, Nurul Izzah pada awalnya meminta untuk berundur sepenuhnya, tetapi kepimpinan parti memutuskan supaya beliau hanya berehat sementara.
Dalam ucapannya, Nurul Izzah turut mempertahankan penglibatan Anwar yang semakin aktif di pentas antarabangsa dengan menegaskan bapanya membawa suara rakyat Malaysia.
Beliau turut membidas pihak yang mempertikaikan pengaruh Anwar di peringkat global dan menyifatkan kritikan sedemikian sebagai berpunca daripada rasa cemburu.
“Anda boleh mengkritik beliau, tiada salahnya. Saya juga mengkritik beliau. Tetapi jika anda memfitnah dan tidak dapat menerima perkara itu semata-mata kerana cemburu, lebih baik berjumpa pakar psikologi.
“Negara ini mempunyai banyak masalah yang perlu diselesaikan. Kita tiada masa untuk mendengar anda merungut kerana tidak menjadi perdana menteri,” katanya.