kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,694
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,694
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Satu RUU Diluluskan Pada Minggu Pertama Sidang Dewan Rakyat
Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 merupakan satu-satunya RUU yang diluluskan pada minggu pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen ke-15.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata dalam RUU itu, Seksyen 42A diperkenalkan bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil lebih awal terhadap kegiatan lumba haram tanpa perlu menunggu hingga berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian.
Ia sekali gus menutup kelompangan undang-undang sedia ada yang menyukarkan tindakan diambil kerana pihak berkuasa sebelum ini perlu membuktikan unsur bahaya atau akibat telah berlaku.
Loke berkata kementeriannya akan membentangkan satu lagi pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333) itu pada hujung tahun ini, bagi memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa kemalangan yang disebabkan oleh pemandu berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah, selain hukuman denda dan penjara.
Dalam pada itu, RUU Penjara (Pindaan) 2026 yang antara lain bertujuan memperuntukkan penggunaan peranti pengawasan elektronik serta pelantikan sukarelawan bagi pelaksanaan program pemulihan banduan, telah ditangguhkan dan dirujuk semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) untuk penelitian lanjut.
Beberapa RUU turut dibentang bagi bacaan kali pertama iaitu Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026, RUU Persaingan (Pindaan) 2026, RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 serta Akta Jenayah Siber 2026 yang bertujuan memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563).
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengesahkan Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainuddin kembali memegang jawatan Ketua Pembangkang berkuat kuasa 18 Jun.
Johari turut mengesahkan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa selepas Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad melepaskan keahlian sebagai Ahli Dewan Rakyat pada 18 Mei lepas, dan perkara itu telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan.
Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Selasa dan Khamis yang diperuntukkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijawab oleh menteri-menteri berkaitan berikutan Anwar terlibat dengan beberapa program lain.