SAPP Ucap "Sayonara" Kepada BN
KOTA KINABALU, 17 Sept (Bernama) -- Selepas menjalin "pakatan politik" yang agak baik dengan 13 sekutu lain dalam gabungan Barisan Nasional (BN), Parti Maju Sabah (SAPP) akhirnya membuat keputusan untuk menamatkan kesatuan itu.
Banyak pihak menjangkakan SAPP, parti politik berasaskan kaum Cina yang terbesar di Sabah, akan tabah apabila berdepan dengan keadaan gawat sekarang supaya parti itu dapat bangkit semula untuk menikmati kuasa dan kejayaan di bawah naungan BN.:-? :-?
Sebaliknya, SAPP memutuskan untuk mengucapkan "sayonara", yang mungkin mempunyai kesan yang kecil ke atas BN di Sabah, terutamanya ekoran cakap-cakap mengenai Anggota Parlimen "yang akan melompat parti".
Tiada majlis perpisahan untuk mengucapkan terima kasih pada mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP hari ini, namun ia bertukar menjadi majlis bagi orang kuat SAPP untuk menuturkan kata-kata yang sangat buruk mengenai BN.
Ini tidak memeranjatkan selepas SAPP membuat kejutan pada 18 Jun dengan mengisytiharkan parti itu tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee mendakwa BN telah kehilangan "semangat BN" dan sebenarnya BN yang mengabaikan rakyat, bukan sebaliknya.
Sambil membidas BN kerana gagal belajar daripada prestasi buruknya dalam pilihan raya umum 8 Mac, beliau berkata kenaikan harga bahan api serta peningkatan inflasi turut membebankan rakyat.
Timbalan Yong, Datuk Raymond Tan Su Kiah, yang tidak bersetuju dengan keputusan untuk meninggalkan BN, berkata beliau akan membuat keputusan sama ada untuk meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah dalam tempoh 24 jam.
"Keputusan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi tengah hari ini bukan dibuat sebulat suara. Penyokong akar umbi harus diberi peluang untuk membuat keputusan mereka sendiri," kata Tan.
SAPP mempunyai dua Anggota Parlimen -- Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) serta empat Anggota Dewan Undangan Negeri -- Datuk Raymond Tan Suh Kiah (Tanjung Papat), Au Kam Wah (Elopura), Datuk Liew Teck Chan (Likas) dan Melanie Chia (Luyang).
Kecuali Raymond dan Au Kam Wah yang tidak menghadiri mesyuarat itu, anggota lain termasuk Melanie, iaitu Pembantu Menteri Kewangan, berdiri teguh di belakang Yong.
SAPP ditubuhkan dan didaftar pada 21 Jan, 1994 oleh satu kumpulan yang diketuai oleh Yong, bekas Ketua Menteri Sabah. Parti itu diwujudkan tidak lama selepas peletakan jawatan Yong daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) ekoran perselisihan faham dengan Presiden parti Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.
Penganalisis politik tempatan Lesaya Lopog percaya keputusan SAPP itu tidak akan mengakibatkan Anggota Parlimen BN yang lain membelot dengan menyertai pembangkang.:-?
"Memanglah ia akan mencetuskan reaksi tertentu tetapi tidak akan membawa kepada anggota yang membelot secara besar-besaran," katanya.:-?
Beliau berkata pengunduran SAPP daripada gabungan BN tidak akan menjejaskan kekuatan BN, terutamanya di Sabah."Pada masa ini, ia tidak mempunyai kaitan kerana BN amat kukuh. Bagi Sabah, BN mempunyai mandat untuk memerintah negeri ini," katanya.:-?
Lesaya berkata dengan ketidaktentuan politik di Sabah sekarang, masa depan SAPP masih samar-samar.
"Pemimpin SAPP kini lebih lantang menyuarakan masalah yang menjejaskan negeri ini dan semua isu yang pernah dibangkitkan oleh DAP serta PKR di Sabah kini diambil alih oleh SAPP, dan pandangan rakyat kini terarah kepada SAPP.
Iskandar Martin Gayo, pemerhati politik veteran, melihat keputusan SAPP sebagai lebih kepada strategi untuk memenangi semula sokongan rakyat selepas menyedari bahawa sokongan mereka, terutama di kawasan yang dikuasai kaum Cina, semakin merosot sejak pilihan raya umum 8 Mac.
"Saya fikir ini adalah perjudian politik yang datang dengan risiko yang amat besar. Bukanlah tanggungjawab yang mudah untuk meyakinkan masyarakat Sabah untuk bersatu di belakang mereka. SAPP pada dasarnya memberitahu rakyat bahawa ia bersedia untuk perubahan," katanya.
-- BERNAMA
