ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Bil air yang tertera deposit tambahan menyebabkan ramai pengguna keliru dan tertekan.
BANDARAYA MELAKA - Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menyedari ramai pengguna keliru terhadap pembayaran deposit tambahan dikenakan terhadap mereka.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Mohd Khalid Nasir berkata, pengguna boleh membayar secara ansuran deposit tambahan itu tanpa sebarang pemotongan bekalan air dikenakan sekiranya gagal menjelaskannya.
Beliau berkata, deposit itu dikenakan kepada pengguna bagi bil Mac lalu susulan ketetapan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
"Arahan dikeluarkan tertakluk mengikut Peraturan-peraturan Industri Perkhidmatan Air (Deposit, Fi dan Caj Perkhidmatan Air) 2014 berkuatkuasa 1 Februari 2014.
"Keadaan itu sekali gus memerlukan deposit baru bagi pengguna komersil dikaji semula setiap enam bulan iaitu pada 31 Januari dan 31 Julai serta kajian pertama dilakukan pada 31 Julai 2014," jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, pengguna domestik akan dikaji semula secara tahunan setiap 31 Januari, sekali gus SAMB sebagai pemegang lesen perkhidmatan akan mengenakan kadar deposit dan lain-lain caj terhadap semua pengguna.
"Sejumlah 35,000 akaun daripada 220,000 pengguna domestik terlibat dan daripada 35,000 itu didapati sebanyak 7,000 tidak mempunyai sebarang deposit," katanya di sini, semalam.
Mohd Khalid berkata, kes-kes terlibat kebanyakannya membabitkan pengguna tiada amaun deposit sebelum ini atau deposit serendah RM5 hingga RM20.
Berhubung rungutan pengguna, beliau berkata, pihaknya sudah meletakkan notis di bahagian belakang bil pengguna sejak Januari lalu selain dipaparkan di semua kaunter pembayaran syarikat.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati, orang ramai terkesan dengan caj dikenakan SAMB itu.
Surirumah, Zanariah Ahmad, 55, berkata, biasanya bil bulanan di rumahnya hanya sekadar RM20, namun naik mendadak mencecah RM100.
"Memang terkejut apabila melihat bil melambung tinggi. Mengapa di tengah kesempitan masyarakat berdepan kenaikan harga barang akibat GST, masa inilah caj dikenakan," katanya.
Seorang lagi surirumah, Asiah Ali, 35, berkata, dia tidak mempertikaikan arahan ini tetapi sebagai pengguna cukup rasa tertekan dengan pelbagai bebanan akibat kenaikan kos hidup.