SAYA gadis berusia 25 dan empat tahun menjalin hubungan cinta dengan suami orang. Dia baik, bertanggungjawab dan penyayang. Mengenalinya adalah anugerah terindah daripada Tuhan untuk saya.
Dia berusia 38 dan ini bermakna perbezaan usia kami 13 tahun. Namun itu bukan penghalang kami bercinta. Selama setahun, percintaan kami penuh rahsia tanpa pengetahuan isterinya dan keluarga saya, tapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya hubungan kami dihidu isterinya.
Pada mulanya si isteri nasihatkan saya supaya tinggalkan suaminya tapi saya dan suaminya bertekad tidak akan berpisah. Melihat keadaan itu, ditambah lagi dengan hubungan kami yang langsung tak terganggu dengan nasihat dan ugutannya, dia memberitahu keluarga saya.
Sejak itu bermula kisah sedih dalam keluarga saya, terutama emak saya, kerana selama ini saya memperkenalkan teman lelaki itu sebagai duda. Bila tahu perkara sebenar, emak marah dan kecewa kerana dia hendak sangat saya berkahwin.
Apabila mengetahui teman lelaki saya suami orang, emak melarang saya meneruskan hubungan tapi saya teruskan juga atas dasar cinta yang mendalam. Sejak itu hubungan saya dan emak renggang.
Sepanjang dua tahun lalu, keadaan itu berlarutan manakala saya dan teman lelaki semakin hari semakin rapat. Akhirnya, isteri teman lelaki saya mengalah dan membenarkan saya berkahwin dengan suaminya.
Bagaimanapun, dia yang ketika ini hamil meminta kami menunggu sehingga dia selamat melahirkan anak pada hujung tahun ini sebelum bersetuju menandatangani surat kebenaran poligami.
Emak yang sudah tidak kuasa dengan kedegilan saya turut memberi kebenaran saya berkahwin dengan teman lelaki tapi memberitahu selepas berkahwin, hubungan saya dengan keluarga akan putus.
Kata emak lagi, saya hanya akan dinikahkan di masjid dan berwalikan adik saya kerana abah tidak suka pilihan saya. Saya berusaha memujuk emak supaya memberi peluang pada saya merasakan kemeriahan perkahwinan seperti orang lain, memandangkan saya akan dibuang keluarga selepas itu.
Kebelakangan ini emak seakan-akan boleh menerima pujukan saya, tapi masih belum ada kata putus lagi. Kini, saya dalam ketakutan dan dilema.
Saya takut jika isteri teman lelaki saya tidak memberi kebenaran poligami sebagaimana dijanjikannya dan saya sedih bila mengenangkan bila bergelar isteri kelak saya akan dibuang keluarga.
Ini semua disebabkan saya mencintai suami orang. Sering saya tertanya-tanya, besar sangat ke dosa saya apabila dengan rela hati menerima jodoh Tuhan ini? Berdosakah saya berkahwin dengan suami orang, sedangkan Islam membenarkannya?
Apa harus saya lakukan sekarang, Dang Setia? Saya tak tahu bagaimana keadaan saya hujung tahun ini. Adakah saya akan berkahwin dengan meriah dan direstui keluarga atau terpaksa ke Indonesia untuk berkahwin lari kerana suami saya gagal dapat kebenaran daripada isterinya?
Untuk makluman, saya sudah tiga kali dikecewakan lelaki, jadi saya tak sanggup lagi kehilangan kasih sayang untuk sekian kalinya.
NOR