Lee Kwang Soo di PJ hari ini
BINTANG popular Korea Selatan, Lee Kwang Soo (tengah).
PETALING JAYA: Lebih 5,000 peminat membanjiri Paradigm Mall di sini, petang tadi untuk menemui bintang popular Korea Selatan, Lee Kwang Soo.
Sejak awal pagi lagi, ratusan remaja mula beratur memasuki pusat beli-belah terbabit bagi melihat lebih dekat wajah pelakon Running Man itu.
Setibanya Lee, pusat beli-belah itu bergema dengan jeritan peminat.
Lee yang dijemput sebagai tetamu undangan bagi program realiti, Running Man Challenge - Hydrated By 100Plus meluahkan rasa gembira dan terharu dengan sokongan peminat di Malaysia.
"Biarpun saya kurang memahami apa yang dibualkan peserta, saya seronok dapat menjadi sebahagian daripadanya. Ia adalah antara pengalaman yang mengujakan," katanya.
Running Man Challenge - Hydrated By 100Plus disertai barisan artis tempatan seperti Ayda Jebat, Saharul Ridzwan, Hairul Azreen dan Ajak Shiro.
Lee pernah tiga kali berkunjung ke Malaysia. Lee tampil pada sesi bertemu peminat sebanyak dua kali pada tahun 2014 disusuli pelancaran produk, Mac lalu.
Lee tidak menolak kemungkinan kembali ke Malaysia.
"Kalau bukan kerana Running Man, mungkin saya tak dapat bertemu dengan peminat di Kuala Lumpur.
"Sudah tujuh tahun saya terbabit dalam drama Running Man. Ia tak dapat dipisahkan dari hidup saya. Terima kasih atas sokongan terhadap Running Man. Kami berjaya sehingga hari ini disebabkan sokongan anda semua," katanya.
Selain Running Man, Lee juga dikenali menerusi drama, It's Okay Thats Love, The Innocent Man dan Entourage.
http://www.bharian.com.my/node/217199