ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Samudi membersihkan pokok-pokok pisang yang dimusnahkan oleh gajah.
KLUANG- Sepasang suami isteri dekat sini, bukan saja mengalami kerugian apabila pokok pisang dan kelapa yang ditanam musnah, malah pagar rumah mereka turut rosak akibat dirempuh gajah liar, dalam kejadian awal pagi kelmarin.
Samudi Basiron, 74, berkata, dia hanya menyedari kejadian kelmarin ketika bangun hendak menunaikan solat Subuh sebelum melihat keadaan di luar rumah.
Menurutnya, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati pokok-pokok di halaman rumahnya musnah.
“Kejadian yang berlaku ini merupakan kejadian ketiga sepanjang pertengahan tahun ini selepas saya menetap di kampung ini kira-kira lapan tahun lalu.
“Sebelum ini, gajah-gajah ini hanya menyerang di ladang kelapa sawit, tapi kali ini masuk ke kawasan halaman rumah dan memusnahkan pokok buah-buahan dan kelapanya yang ditanam di tepi rumah.
“Malah pagar rumah saya turut rosak dirempuhnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Timor, dekat sini.
Menurut Samudi, isterinya Turiah Selamat, 51, terlalu bimbang sekiranya kejadian itu berulang lagi dan sebelum ini serangan gajah hanya berlaku di luar kawasan rumah mereka.
Samudi berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan mengatasi masalah tersebut sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti melibatkan kehilangan nyawa.
“Bermacam-macam cara telah pun dilakukan oleh kami untuk mengelakkan serangan gajah liar ini, namun semuanya tidak membuahkan hasil malah, serangan semakin teruk.
“Jika sebelum ini, gajah hanya menyerang sekali atau dua kali dalam masa setahun, namun kini semakin menjadi-jadi dan kadang-kadang kumpulan binatang ini datang hanya selang tiga hingga empat malam terutama sekali
jika hujan,” katanya.
Sementara itu, Adun Kahang, R Vidyanantha berkata, masalah gajah di Dun Kahang sememangnya sudah lama berlaku dan pelbagai langkah telah diambil bagi menghalang haiwan tersebut daripada masuk ke kawasan ladang
penduduk.
Katanya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) misalnya telah membina parit gajah dan pagar elektrik.
“Malah, ada juga tindakan untuk menangkap gajah-gajah tersebut, tetapi gajah masih menyerang ladang.
“Saya harap penduduk kawasan Dun Kahang ambil langkah lain dengan menakut-nakutkan gajah itu dengan bunyi meriam atau sebagainya.
“Penduduk yang terjumpa dengan binatang ini diminta menghubungi pejabat Perhilitan untuk diambil tindakan segera,” katanya.