ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Rozana
Tanur membantu membakar tanah liat pada suhu tinggi.
LABU sayung, periuk tanah dan pasu bunga sering dikaitkan dengan industri seramik yang akan dijadikan aksesori indah bagi yang menggemarinya sebagai simpanan peribadi dan hadiah kepada rakan- rakan.
Setiap produk yang dihasilkan pastinya mempunyai keunikan sama ada pada nilai artistik, seni ukiran yang dihasilkan dan gabungan warna yang mencantikkan produk.
Industri ini jarang dipelopori generasi muda kerana ia memerlukan ketelitian dan minat yang mendalam. Namun bagi sesetengah pihak, ia bukanlah alasan untuk tidak menceburi bidang seramik yang mempunyai nilai yang besar kepada pencintanya.
Rozana Musa, pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka dengan pengkhususan seramik ini terbabit secara aktif dalam bidang seramik pada 2006.
Rozana berkata, sejak kecildia didedahkan dengan tanah kerana selepas Allahyarham ayahnya, Musa Kasim bersara menjadi polis di Singapura, mereka sekeluarga berpindah ke Sungai Petai, Melaka.
“Ayah menanam sayur sejak 1970-an di kawasan tanah lapang yang merupakan bekas kawasan sawah padi. Saya lihat tanah tersebut mempunyai potensi menghasilkan produk seramik,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada 13 adik-beradik.
Selepas tamat belajar, Rozana mengambil keputusan kembali ke kampung halaman kerana mahu memajukan tanah liat.
Kekangan modal memulakan perniagaan seramik yang diminati menyebabkan pemilik Bendang Studio terletak di Alor Gajah, Melaka ini mencipta sendiri tanur atau alat pembakaran kerana tanah liat perlu dibakar dalam suhu tinggi.
Menurutnya, modal permulaan perniagaannya adalah simpanan sendiri dan tidak mampu membeli tanur yang ada di pasaran pada waktu itu sekitar RM15,000 seunit.
“Saya bekerja sebagai guru sandaran selama dua tahun bagi mengumpul modal perniagaan dan membeli peralatan yang diperlukan dalam perniagaan seramik. Saya tidak mahu membuat pinjaman dari mana-mana pihak,” katanya.
Menurutnya, dengan menggunakan RM2,500 beliau berjaya menghasilkan tanur untuk kegunaannya.
Rozana berkata, tanur adalah peralatan yang utama untuk menghasilkan seramik kerana tanah liat perlu dibakar dalam suhu tinggi.
“Saya tidak mampu membeli kerana harga tanur yang berada di pasaran terlalu mahal. Saya mengambil keputusan membuat tanur sendiri. Saya berbincang dengan pensyarah untuk menghasilkannya pada 2009,” katanya.
Rozana mengambil masa tiga bulan menyiapkan pembakar yang diubahsuai supaya tahan lasak bagi pembakaran bersuhu tinggi.
“Segala proses penghasilan produk seramik dilakukan secara manual bermula dari penyediaan bahan mentah sehinggalah menjadi produk siap. Sayamelakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan produk seramik berkualiti,” katanya.
Rozana berkata, proses menghasilkan seramik bermula dengan mengeringkan tanah liat kemudiannya akan direndam dan ditapis.
“Proses pengeringan biasanya mengambil masa selama dua atau tiga hari bergantung kepada keadaan cuaca dan kuantiti tanah. Setelah menjalani proses rendaman dan penapisan, proses membentuknya dilakukan mengikut teknik acuan atau bentukan tangan,” katanya.
Menurutnya, teknik acuan digunakan untuk produk seperti bekas kecil, lolipop dan pelekat magnet, manakala teknik bentukan tangan pula untuk produk seperti kerongsang, loket dan anting-anting
Katanya, proses seterusnya ialah mengeringkan produk yang siap dibuat mengikut teknik yang dipilih sebelum proses pembakaran dilakukan pada suhu melebihi 1,000 darjah Celcius selama enam jam.
“Proses pembakaran merupakan faktor penting dalam penghasilan produk seramik supaya ia dapat tahan lama.
“Keseluruhan proses bergantung kepada saiz dan teknikdigunakan manakala masa paling singkat untuk menyiapkan satu produk seramik ialah selama dua minggu bergantung pada kuantiti,” katanya.
Selain barangan seramik, Rozana juga membakar produk menggunakan alat pembakar seramiknya sendiri. Kini, dia telah menaik taraf alat pembakar seramiknya agar lebih berkualiti dari segi suhu pembakaran.
Jika sebelum ini, alat pembakar seramiknya hanya mampu bakar pada suhu yang rendah tetapi kini ia mampu membakar pada suhu tinggi dan saiz dibesarkan.
Mendapat permintaan dari luar negara
Barangan seramik yang dibuat Rozana antaranya pinggan, cawan, mangkuk, anting-anting, cenderahati dan lain-lain. Dia juga menerima tempahan seramik sekiranya pelanggan inginkan kelainan.
Rozana juga menerima permintaan hingga ke luar negara antaranya Paris. Di Paris terdapat satu galeri yang menjual barangan buatan tangan dan barangan seni. Di situ, Rozana memasarkan seramiknya. Secara tidak langsung, Rozana mendapat tempahan pelanggan dari luar negara.
“Harga produk bermula daripada RM4.90 hingga mencecah RM1,000. Ia bergantung kepada jenis, rekaan, teknik yang digunakan,” katanya.
Bakat dan usaha inovatif Rozana mula dicungkil Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) pada 2011 apabila pasukan Jejak Inovasi menjejaki inovasi pembakar seramiknya.
Seperti inovator yang lain, Rozana juga mempunyaiimpian yang tinggi apabila beliau bercita-cita mempunyai cawangan dan galeri pameran sendiri bagi menempatkan produk seramiknya sebagai perancangan masa depan.
Selain itu, Rozana ingin Bendang Studio menjadi tarikan pelancongan di Melaka.