balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
LABIS – Kemunculan pelbagai jenis rokok dan yang terbaru rokok elektronik atau ‘vape’ tidak mampu mengalihkan minat penggemar rokok paip meskipun rokok paip semakin sukar didapati.
Siapa sangka, seorang pemuda di Felda Tenang di sini, menggunakan kreativitinya untuk menghasilkan rokok paip yang sinonim dengan ‘orang lama’ selain berjaya meraih pendapatan tambahan yang lumayan.
Rosiskandar Rahman, 36, berkata, segalanya bermula beberapa tahun lalu apabila dia memerhatikan ketekunan seorang warga emas, Ali Jamuk, 97, berhampiran rumahnya yang mampu menghasilkan rokok paip buatan tangan secara tradisional.
Menurutnya, dia yang lebih mesra dipanggil Is berkata, dia memberanikan diri berjumpa Ali untuk mempelajari seni pembuatan rokok paip tersebut selain tertarik dengan kehalusan rokok paip yang dihasilkan beliau.
Dua tahun belajar teknik pembuatan
“Saya ambil masa dua tahun untuk betul-betul kuasai teknik pembuatan rokok paip ini, bermula daripada proses pemilihan kayu yang sesuai, pembentukan, cantuman dan yang terakhir proses penggilapan atau mengecat.
“Sebenarnya, buat rokok paip ini tak lah susah tapi kita perlukan kesabaran dan ketekunan, daya kreativiti juga mesti tinggi sebab nak pastikan rokok paip yang dihasilkan nanti cantik dan berkualiti,” katanya.
Menurutnya, antara aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah pemilihan kayu sebagai bahan utama dan mestilah daripada jenis kayu keras selain mempunyai corak atau urat yang menarik supaya kelihatan lebih cantik.
Menurutnya, dia kini mampu menghasilkan sekitar 15 batang paip pelbagai bentuk mengikut permintaan pelanggan yang dijual dengan harga bermula RM80 sehingga RM150 bergantung kepada jenis kayu dan bentuk yang ingin dihasilkan.
“Kebanyakan rokok paip saya buat guna kayu arang sebagai ‘dapur’ dan tanduk lembu atau kerbau untuk buat bahagian penyedut atau tangkai sebab dua-dua barang tu memang keras dan tahan lasak, corak dia pun cantik.
“Saya tidak ada masalah nak dapatkan barang-barang buat rokok paip ini sebab kebanyakannya gunakan barang-barang yang memang mudah dapat selain bahan yang boleh dikitar semula seperti kayu,” katanya.
Hasilkan 20 batang rokok paip sebulan
Berbeza pula dengan Zulkifli Ibrahim, 50, di Kampung Sawah Baru di sini, apabila dia mula membuat rokok paip sejak pertengahan tahun 80-an selain mampu menghasilkan kira-kira 20 batang rokok paip sebulan.
Menurutnya, gerak kerja untuk menghasilkan paip sama seperti yang digunakan oleh Rosiskandar bermula dengan pemilihan kayu yang sesuai sebelum kerja membentuk kayu menggunakan parang serta gergaji perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kayu pecah.
“Selepas dapat bentuk kasar, saya guna gerudi elektrik untuk buat lubang kecil. Lubang tu fungsinya sebagai saluran asap ketika digunakan sebelum satu lubang yang lebih besar yang dipanggil ‘dapur’ untuk mengisi tembakau boleh dilakukan menggunakan pisau khas.
“Selepas semua proses bentuk bahagian kepala rokok paip selesai, barulah proses buat tangkai atau penyedut dari tanduk kerbau boleh dilakukan. Caranya potong tanduk 1.5 sentimeter lebar dan enam sentimeter panjang,” katanya.
Bagaimanapun, tanduk kerbau tersebut perlu diluruskan terlebih dahulu dengan cara menyapu minyak masak dan memanaskannya di atas api sebelum diapit dengan pengapit dan dibiarkan sejuk untuk seketika.
Menurutnya, langkah seterusnya adalah dengan membuat lubang kecil pada tanduk dan kayu tersebut dan dibengkokkan dengan cara sama seperti proses meluruskannya sebelum ini.
“Proses seterusnya buat tanggam untuk cantumkan bahagian ‘kepala’ dengan penyedut sebelum kerja-kerja menggosok, mengukir dan mengilat dilakukan sebagai proses akhir sebelum boleh dijual.
“Saya sendiri penggemar rokok paip sebab aroma tembakau dan kayu mampu beri kenikmatan yang tidak boleh diperoleh melalui rokok kretek dan rokok elektronik,” katanya.
Lebih selesa guna rokok paip anak tempatan
Sementara itu, penggemar rokok paip, Arshad Mohd Noh, 83, yang telah menggunakan rokok paip lebih 40 tahun mengakui lebih selesa menghisap paip buatan anak tempatan yang disifatkannya lebih cantik dan halus pembuatannya.
Menurutnya, walaupun dia telah menggunakan banyak rokok paip buatan luar negara sebelum ini, rokok paip buatan Rosiskandar ternyata lebih berbaloi serta bermutu tinggi selain harganya yang berpatutan.
“Saya ada beli dua batang paip buatan Rosiskadar beberapa bulan lalu. Saya berpuas hati dengan hasil kerjanya yang bukan sahaja halus dan teliti, tetapi tidak mudah tersumbat serta tidak perlu dibersihkan selalu.
“Selain itu saya sangat tertarik dengan corak kayu semula jadi yang menonjolkan ciri tempatan dan membuatkannya begitu unik berbanding rokok paip buatan luar negara,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tenang, di sini.
Sementara itu, Abu Kassim Idris, 46, yang telah menggunakan rokok paip sejak 10 tahun lalu melahirkan rasa bangga dengan usaha yang dilakukan oleh Rosiskandar dan Zulkifli yang disifatkannya sebagai penyambung seni warisan.
Katanya, dia menggunakan rokok paip kerana lebih jimat selain dapat mengehadkan kekerapan merokok berikutan rokok paip hanya sesuai digunakan ketika berehat berbanding rokok yang boleh dihisap walaupun sedang melakukan kerja.
“Secara tidak langsung dengan gunakan rokok paip buatan mereka, saya sebenarnya dah mempromosi barangan buatan anak tempatan dengan harapan ia dapat berkembang dengan lebih luas lagi pada masa akan datang.
“Saya harap mereka mampu hasilkan bentuk yang lebih unik serta tonjolkan budaya tempatan pada masa akan datang kerana paip ini tidak harus dilihat sebagai alat menghisap rokok semata-mata, sebaliknya boleh dikembangkan untuk dijadikan sebagai cenderahati oleh pelancong asing,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/rokok-paip-semakin-diminati-1.449129