Bangunan Tanpa Kebenaran Merancang Menyalahi Undang-undang - Nga
Kredit: Media KPKT
Kerajaan tidak berkompromi terhadap pembinaan bangunan tanpa kebenaran merancang (KM) kerana tindakan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah berisiko mewujudkan penempatan haram.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata dasar kerajaan berhubung perkara itu adalah jelas, iaitu mana-mana bangunan yang dibina tanpa kelulusan tidak dibenarkan menerima sambungan bekalan air dan elektrik bagi mengelakkan ia diduduki.
Beliau berkata langkah berkenaan adalah antara mekanisme paling berkesan untuk membendung kewujudan penempatan haram, termasuk yang dikaitkan dengan warga asing seperti etnik Rohingya.
“Soal pelarian Rohingya adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen, mereka ada pemeriksaan dan penguatkuasaan secara berkala dan berjadual.
“Tetapi dasar kerajaan sangat jelas, sesiapa sahaja pendatang perlu dapat izin daripada kerajaan sama ada atas sifat kemanusiaan ataupun sebagai pelarian, refugee, kesemuanya itu perlu dan wajib mendapat kebenaran,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke kaunter bergerak ‘Wang Tak Dituntut’ di sini hari ini.
Beliau mengulas isu berkaitan pembinaan bangunan empat tingkat secara tidak sah oleh komuniti Rohingya di kawasan terpencil di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor.
Dalam pada itu, Nga berkata kerajaan telah membatalkan 26,108 lesen perniagaan dikendalikan warga asing, menerusi 4,000 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negara hingga Mei tahun ini.
“Saya bagi contoh, dasar kerajaan sangat jelas, iaitu kita tidak benarkan warga asing berniaga, lesen tidak boleh dikeluarkan, mereka hanya boleh jadi pekerja tak boleh jadi tauke ataupun hak milik.
“Sebab itu, hari ini saya nak umumkan, sejak Kerajaan MADANI diberikan amanah dan tanggungjawab menjaga negara ini, saya telah arahkan PBT di seluruh negara untuk menguatkuasakan undang-undang,” katanya.