PERBALAHAN YANG SUDAH SAMPAI KE KEMUNCAK; DAN DI PUNCAKNYA HANYA ADA KEMARAHAN, KEBENCIAN DAN KEMUSNAHAN NILAI
Isu Rohingya yang bermula dengan penolakan bot pelarian yang membuat cubaan masuk secara haram pada awal April ini, kini telah menjadi satu isu perbalahan di kalangan wargamaya. Apa yang menyedihkan ialah perbalahan wargamaya kini langsung lari dari isu asal, malah tidak sekelumitpun membantu sama ada:
1. Bagaimana Malaysia dapat menjelaskan keadaan dan membantu menyelesaikan isu pelarian Rohingya.
2. Tidak membantu sedikitpun dalam memperbaiki keadaan pelarian.
Isu akarnya adalah Malaysia tidak dapat menerima, apatah lagi dalam keadaan ancaman wabak Covid-19, cubaan menceroboh sempadan negara.
Sedangkan penerbangan komersil pun kita hentikan, apatah lagi cubaan masuk ke dalam negara secara haram, tanpa memiliki dokumen sah dan dalam jumlah yang beratus dan beribu.
Dalam keadaan sekarang, di mana kita berdepan dengan masalah besar, barisan hadapan negara (pegawai kesihatan, pihak berkuasa, pegawai keselamatan) sudahpun dalam keadaan lelah tidak menang tangan.
Di mana isu penularan wabaknya.
Di mana isu kelangsungan hidup rakyatnya.
Di mana isu bakal berhadapan kemelesetan ekonomi dunia.
Di mana isu rakyat yang hilang pekerjaan.
Di mana isu bekalan makanan.
Di mana isu perubatan dan hospital yang tidak mencukupi.
Di mana isu percubaan masuk PATI dari negara seberang.
Di mana isu kapal China di perairan kita.
Dan bermacam isu lain lagi yang kita sedang hadapi serentak.
Semuanya isu besar-besar belaka.
Menambah jumlah pelarian ketika ini bukanlah satu kelebihan yang kita ada. Kita sudah menjadi tuan rumah kepada lebih 200,000 pelarian ketika ini.
Isu menyelamatkan pelarian ini bukan seperti cereka fantasi. Kita selamatkan dan "they all live happily ever after."
Kita perlu fikirkan:
a) Penempatan mereka yang kondusif - selesa, makan minum cukup, pakaian dan keperluan asas cukup, air, elektrik dan infra asas lain yang mencukupi.
b) Proses saringan pelarian - adakah mereka benar pelarian ataupun ada yang mengambil peluang masuk secara haram, adakah mereka sebahagian sel pengganas, adakah mereka penjenayah, adakah mereka pembawa penyakit dan sebagainya.
c) Proses rawatan dan kuarantin
d) Dimanakah mereka akan ditempatkan selepas itu - cukupkah peluang pekerjaan, ada tak fasiliti pendidikan dan sebagainya.
e) Kalau tiada pekerjaan bagaimana dengan makan minum mereka
Dan banyak lagi faktor yang perlu kita ambil kira. Seperti yang saya utarakan tadi, ia bukan semudah cereka fantasi.
Selain itu kita juga berfikir jika perbuatan kita menerima pelarian begitu mudah, berapa banyak bot lagi akan berlepas untuk tuju ke Malaysia? Berapa ramai lagi yang kita boleh terima?
Adakah wajar kita beri harapan pada yang lain sehingga mereka mempertaruhkan nyawa 2 bulan di atas laut? Sehinga kini lebih kurang sejuta pelarian yang tidak sabar ingin belayar. Dapatkah kita ambil kesemua 1 juta pelarian ini?
Itu belum lagi kita cerita tentang agen dan sindiket pemerdagangan manusia. Perbuatan kita hanya akan membuatkan sindiket ini lebih banyak menipu mereka untuk membayar dan belayar menuju ke Malaysia.
--------
Rakan-rakan semua, janganlah bersikap seperti Malaysia ini tidak pernah membantu sekelumit pun negara bergolak dan pelarian. Kita sudah membantu sejak sekian lama lagi.
Mengapa isu Rohingya ini semuanya diletakkan di atas bahu Malaysia?
Di mana tanggungjawab negara ASEAN lain? OIC? PBB? Malah di manakah tanggungjawab Myanmar sendiri?
Mengapa Malaysia yang banyak membantu sebelum ini dibuli dan diwarnakan seperti kita tidak pernah membantu?
Rakan-rakan semua, saya tahu ada yang marah dan tidak berapa gemar Malaysia menjadi 'dumping ground' masalah sejagat, masalah dunia.
Tetapi pada masa sama janganlah kita melampaui batas kemanusiaan juga. Janganlah kita halalkan pembunuhan, janganlah kita bermain sentimen dan emosi, jangan kita bakar api permusuhan, jangan kita sebar berita palsu dan kebencian.
Banyak lagi hujah yang lebih rasional dan realistik untuk kita gunakan seperti yang saya tulis di atas ini.
Hentikanlah penyebaran berita dan maklumat palsu.
Hentikan juga berlagak seperti malaikat tetapi nama nak membantu di bawah tiada langsung.
Hari ini wargamaya di kedua-dua belah memainkan isu ini terlalu ekstrem sehingga lupa pada apa isu asalnya, lupa isu akarnya.
Di satu sudut kita ada kebecian melampau.
Di satu sudut lagi kita ada pensimpati yang melampau sehingga langsung tidak realistik.
--------
Bulan ini bulan Ramadhan. Jangan kita lupa.
Jaga tutur kata, jaga tingkah-laku.
Ini bulan yang menunjukkan rupa sebenar kita sebagai manusia.
The Patriots