ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR (dua dari kiri) menyampaikan Jalur Gemilang kepada anak gajah Lanchang ketika Sambutan Hari Gajah Sedunia di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Temerloh, Pahang semalam. BERNAMA
TEMERLOH 5 Sept. - Kira-kira RM19 juta akan dipohon Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) untuk melaksanakan program kawalan gangguan gajah di negara bagi mengurangkan konflik yang berlaku antara haiwan itu dan manusia.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, daripada jumlah itu, RM12 juta bagi program Komuniti Sistem Pagar Elektrik Gajah (Spegkom) dan RM7 juta untuk pelaksanaan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (Necap).
Katanya, 10 lokasi di lima negeri iaitu Johor, Kedah, Pahang, Kelantan dan Terengganu dikenal pasti untuk dilaksanakan program Spegkom.
“Melalui program ini, set pagar elektrik mudah-alih akan dibekalkan dan dipantau oleh penduduk kampung yang terlibat dan pemasangan jajaran Spegkom sepanjang dua kilometer dilakukan secara gotong-royong.
“Kos serta kerja-kerja penyelenggaraan Spegkom dijalankan oleh komuniti dan program ini adalah berdasarkan persetujuan komuniti dan akan didokumentasikan untuk menjamin kebertanggungjawaban pihak yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Gajah Sedunia 2015 di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Lanchang di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Azizan Ahmad.
Sehingga kini, PKGK yang diwujudkan pada 1989 sebagai pusat operasi bagi program tangkapan dan penempatan semula gajah liar yang menghadapi konflik telah menarik pelancong mencecah 200,000 orang setahun sejak mula dibuka kepada pelawat pada 2000.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, pihaknya akan turut melaksanakan program Mitigasi Konflik Manusia-Gajah Berasaskan Komuniti yang melibatkan penduduk kampung bagi menjalankan penjagaan, pemantauan dan pengurusan terhadap lokasi Spegkom.
“Program ini akan melibatkan penyaluran dana kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan koperasi penduduk sebagai bayaran untuk menguruskan Spegkom yang terlibat,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, pada masa kini, anggaran jumlah gajah di Semenanjung adalah lebih kurang 1,220 hingga 1,680 ekor.
Katanya, pengurangan jumlah gajah di Asia juga kepada hidupan liar lain adalah disebabkan dua faktor utama iaitu kegiatan pemburuan haram dan kawasan habitat yang terus berkurangan.
"Habitat gajah perlu dilindungi dan tidak harus diterokai, diceroboh atau diganggu. Pewartaan kawasan hutan sebagai Taman Negara atau Rizab Hidupan Liar adalah langkah terbaik memastikan kelestarian biodiversiti negara dalam jangka panjang khususnya pemuliharaan spesis gajah," katanya.
Source: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rm19-juta-kawal-gajah-1.131997