ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Keadaan pemancar telekomunikasi yang terlalu banyak di atas rumah kedai di sini membimbangkan penduduk.
SELAYANG - Penduduk Taman Selayang Segar di sini mahukan jaminan keselamatan dan kesihatan berikutan kewujudan terlalu banyak pemancar telekomunikasi terletak di bumbung premis rumah kedai di sini sejak tiga tahun lalu.
Seorang penduduk, Roshidah Mohamad, 49, berkata, dia melahirkan kebimbangan sekiranya wujud kesan sampingan seperti asma dan barah berikutan lokasinya yang terlalu hampir dengan kawasan perumahan melibatkan lebih 2,000 penduduk.
“Anak-anak sering mengadu mengalami sakit kepala dan mata serta tidak dapat disahkan sama ada penyakit tersebut berpunca daripada pemancar telekomunikasi itu atau faktor cuaca.
“Kami berharap Majlis Perbandaran Selayang (MPS) campur tangan dalam isu ini untuk mengelakkan masalah lebih serius berlaku,” katanya.
Seorang lagi penduduk, K Sathisvaran, 38, berkata, perubahan pada kesihatannya dan penduduk lain amat dirasai sejak kewujudan pemancar telekomunikasi itu.
“Badan terasa panas, dada dan kepala juga turut sakit malahan situasi itu turut dirasai oleh anak-anak.
“Kami difahamkan pemancar tersebut boleh memberikan kesan jangka masa panjang bergantung kepada kuasa yang digunakan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Goh Eng Guan, 50, berkata, dianggar lebih 15 pemancar telekomunikasi terdapat di premis rumah kedai di sini.
“Jarak pemancar terlalu hampir dengan rumah penduduk dan lokasinya dilihat kurang sesuai.
“Perkara ini pernah dibawa kepada pihak MPS namun sehingga kini tiada sebarang jawapan diterima berkenaan jaminan penduduk di sini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Selayang, Ooi Chin Hong berkata, pihaknya telah mengumpulkan lebih 200 tandatangan penduduk yang membantah kewujudan pemancar telekomunikasi dan berharap supaya ia dapat dialihkan.
Katanya, pihaknya akan bertemu dengan pihak MPS untuk memanjangkan hasrat penduduk di situ.
Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, pihak MPS telah merujuk perkara itu dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan isu radiasi daripada pemancar telekomunikasi tersebut.
“Keputusannya kita dapati ia tidak ditahap yang membahayakan dan tiada keperluan untuk mengalihkannya.
“Pihak MPS telah menerima aduan tersebut pada 2009 dan ia adalah aduan berulang serta kesemua pemancar mempunyai kelulusan daripada pihak bertanggungjawab,” katanya.