Mad_Hatter
Banned

- Messages
- 13,609
- Joined
- Apr 12, 2011
- Messages
- 13,609
- Reaction score
- 2,481
- Points
- 261
BUKAN mudah seperti yang disangka. Misalnya seorang tukang kasut menceritakan nasibnya yang kerap ditipu pelanggan.
Zamri Arisum berkata, sepanjang 11 tahun berniaga di kaki lima kedai di Seksyen 18, Shah Alam, dia pernah ditipu pelanggan yang membuat helah enggan membuat bayaran selepas mendapatkan perkhidmatannya.
“Sepanjang 18 tahun pakcik membaiki kasut di sini, kerap juga ditipu. Pelanggan hantar kasut untuk dibaiki, tetapi bila dah siap, dia terus ambil kasut. Janji nak bayar kemudian, tapi akhirnya tak bayar langsung.
“Ada yang cakap, tiada duit dan mahu ke bank dengan membawa sekali kasut yang sudah siap dibaiki. Mereka janji kembali ke sini (tapak kaki lima), tetapi tak datang lagi,” katanya.
Tambah Zamri, bukan itu sahaja, ada pelanggan tidak mengambil semula kasutnya setelah dibaiki.
“Kami akan simpan dulu kasut-kasut ini kerana takut pelanggan datang bila-bila masa sebab sebelum ini, ada pelanggan yang datang ambil kasut selepas dua bulan.
“Tetapi, kalau kasut itu dah rosak dan tak boleh digunakan, kami terpaksa buang dalam tong sampah,” katanya.
Menurut Zamri, setiap hari dia bekerja seawal jam 9.30 pagi untuk membaiki kasut seperti menampal tapak, tumit dan menggam kasut sehinggalah ke 9 malam.
“Waktu tengah hari baru pakcik datang bantu saya dan dia kadang kala balik awal kerana tidak larat disebabkan faktor usianya.
“Biasanya, upah jahit selipar atau kasut, kami ambil dalam RM3 hingga RM18 bergantung pada jenis kasut. Untuk gam kasut, RM1, tampal tapak dan ganti tumit kasut pula dalam RM5 ke RM6,” katanya.
Dapat RM30 hingga RM40 sehari
Seorang lagi tukang kasut, Nasir Kiri berkata, dia bersyukur mampu memperoleh RM30 hingga RM40 sehari hasil membaiki kasut pelanggan di kaki lima kedai di Jalan Tunku Abdul Rahman (Tar) di Kuala Lumpur.
Sepanjang 25 tahun bertukang di situ, Nasir berkata, pelbagai pelanggan terdiri daripada orang awam dan pihak penguat kuasa pernah mendapatkan khidmatnya untuk membaiki kasut.
“Kerja begini tak tentu sebab kadang kala, banyak kasut yang dihantar dan kadang kala hanya sedikit saja kasut untuk dibaiki.
“Biasanya, dalam sehari adalah dua pasang kasut yang dihantar untuk dibaiki. Kadang kala pelanggan hanya mahu gam kasut saja, dapatlah (duit) sikit hari itu,” katanya.
Nasir berkata, walaupun pernah terlintas di fikirannya untuk membuka kedai membaiki kasut sendiri pada suatu hari, namun hasrat itu terpaksa dilupakan kerana kekangan kewangan.
“Bagaimanalah mahu buka kedai kalau pendapatan dalam sehari pun hanya cukup-cukup makan saja.
“Ketika mula-mula saya nak baiki kasut, saya hanya keluarkan modal RM50 untuk beli jarum, benang, alas tapak kasut dan gam,” katanya.
Menurutnya, dia mengenakan upah RM10 untuk menjahit kasut, jahit tapak kasut wanita (RM6) dan jahit tapak kasut lelaki (antara RM10 hingga RM15).
Tidak mampu sewa kedai
Sementara itu Zulkifli Buyung, 43 tahun yang berasal dari Padang Indonesia berkata, dia menjadi tukang kasut di Jalan Tar lebih dari 20 tahun.
Dia yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan dikurniakan empat orang anak berkata sewa kedai yang mahal dan meningkat setiap tahun menyebabkan dia memilih untuk berniaga di kaki lima.
“Sudah 20 tahun saya berniaga tetapi belum mampu untuk menyewa kedai walau isteri saya layak menyewa kedai kerana dia penduduk tempatan.
“Lagi satu jika saya sewa juga kedai mungkin perbelanjaan kami tidak stabil kerana anak-anak masih bersekolah dan kecil sekali mempunyai masalah kesihatan,” katanya.
Ditanya mengenai pendapatan seharian sebagai tukang kasut Zulkifli berkata dalam sehari dia mampu memperoleh RM150 sehari bergantung kepada rezeki.
“Pendapatan yang saya dapat ini akan digunakan untuk persekolahan anak-anak, belanja rumah serta sewa rumah,” katanya.
Menurutnya upah yang diambilnya untuk membaiki kasut adalah berpatutan dan tidak mengenakan kadar tinggi kepada pelanggannya.
"Kalau jahit kasut lelaki saya ambil upah RM15 hingga RM18 sepasang, manakala kasut wanita RM12," katanya.
http://www.sinarharian.com.my/bisnes/rintihan-peniaga-kaki-lima-1.308887
Ramai masih perlu khidmat peniaga kaki lima
![]()
DALAM arus kota metropolitan dengan bangunan pencakar langit yang megah berdiri di tengah bandar, kumpulan peniaga kaki lima masih mempunyai nilai sentimental aktiviti mereka yang tersendiri.
Pastinya kaki lima jalanan seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan Tar) dan Masjid Jamek di Kuala Lumpur menjadi tumpuan peniaga kaki lima mencari rezeki. Antaranya tukang baiki kasut, jam, cincin dan seluar termasuk penjual kerepek.
Tanpa sebuah kedai yang lengkap, namun cukuplah sekadar beberapa bangku duduk, kotak serta peralatan asas, peniaga kaki lima mencari rezeki dengan penuh harapan.
Peniaga kaki lima memilih untuk berniaga di jalanan kerana tidak mampu membayar harga sewa kedai yang mahal.
Namun ada juga di antara mereka bekerja hanya untuk menyara keluarga dan menampung perbelanjaan harian dari pendapatan yang tidak seberapa.
Rata-rata peniaga kaki lima yang ditemui wartawan Sinar Harian mempunyai kisah tersendiri dan ada yang sudah berniaga lebih dari 20 tahun. Bagaimana sebenarnya putaran bisnes kaki lima ini dalam arus negara kita yang sedang menuju negara maju pada 2020 nanti. Adakah masih diperlukan khidmat peniaga kaki lima. Apakah masalah yang mereka hadapi dalam memberikan khidmat di kaki lima.
Sebenarnya ramai di antara kita masih memilih perkhidmatan peniaga kaki lima terutamanya membaiki kasut kerana hasil kerja mereka yang halus malah upahnya juga murah berbanding di kedai.
Tidak keterlaluan dikatakan, kebanyakan pengguna lebih gemar mendapatkan khidmat peniaga kaki lima kerana selain harga ditawarkan murah, urusan juga mudah dan cepat.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, kedudukan bisnes kaki lima yang kebanyakannya beroperasi di kawasan tumpuan ramai boleh membantu pengguna yang mahu mendapatkan khidmat mereka serta merta.
Faridah Marzahri, 40, berkata, dia kerap mengunjungi kedai kaki lima di Klang untuk membaiki selipar dan sandalnya kerana harganya lebih murah dan selesa dengan hasil kerja itu.
"Selalu saya tampal tapak kasut dengan harga RM7. Walaupun hanya di kaki lima, tetapi perkhidmatan mereka bagus dan cepat. Kalau buat di kedai kasut, mereka akan caj mahal tetapi mungkin lambat untuk dapat balik," katanya yang bekerja sendiri.
Faridah menyarankan supaya kerajaan menyediakan satu lokasi khas untuk menempatkan peniaga kaki lima supaya mudah orang ramai mendapatkan perkhidmatan mereka.
"Walaupun tempat itu sudah disediakan, tetapi kita berharap agar harga yang dikenakan selama ini kepada pelanggan masih kekal murah," katanya.
Pekerja swasta, Mohd Shah Che Ahmad, 26, berkata, dia kerap mendapatkan perkhidmatan di kaki lima untuk barangan yang kurang berisiko seperti kasut dan kunci pendua.
"Saya tidak akan beli barangan yang berisiko kerana ia tiada jaminan jika rosak. Pengalaman saya membeli di kaki lima, setakat ini semuanya baik.
"Saya lebih selesa membeli di kaki lima kerana harganya lebih murah, mudah dan cepat. Macam baiki kasut, kurang setengah jam sudah siap. Walaupun tiada ruangan menunggu yang lebih selesa, tetapi kita boleh lihat terus proses tukang kasut itu membaiki kasut kita,” katanya.
Menurutnya, dari segi kualiti, dia berpuas hati dengan khidmat yang ditawarkan peniaga kaki lima kerana mempunyai peluang untuk terus berhubung dengan peniaga sekiranya tidak berpuas hati dengan hasil kerja mereka.
Bagi seorang kakitangan sektor awam Safuwan Mohd Saidi, 24, perniagaan di kaki lima sama sekali tidak menjejaskan pemandangan orang ramai. Begitu juga anggapannya.
“Ia merupakan satu peluang perniagaan kepada individu berniaga yang tidak berkemampuan untuk menyewa dan membuka premis perniagaan.
“Apa yang penting mereka berusaha mencari rezeki yang halal dan mampu menawarkan perkhidmatan yang murah kepada orang ramai,” katanya.
Menurutnya, apa yang dilihat orang ramai lebih gemar membeli atau menggunakan perkhidmatan peniaga kaki lima.
“Cepat, murah dan senang nak cari serta boleh tawar-menawar itu antara faktor mengapa ramai orang memilih peniaga kaki lima,” katanya.
Sementara itu Amar Hayat Kamarudin 25, berkata perniagaan kaki lima dilihat dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan menyewa kedai untuk berniaga.
"Bagi saya tidak salah untuk mereka berniaga di kaki lima dan ia tidak sama sekali harus dipandang serong sesetengah pihak.
"Sekurang-kurangnya mereka berusaha mencari rezeki dengan cara halal dan menggunakan tulang empat kerat bagi menyara kehidupan dan keluarga," katanya.
Ditanya sama ada dia selalu menggunakan khidmat peniaga kaki lima Amar Hayat berkata ia sudah semestinya kerana harga sangat berpatutan.
"Buat apa bayar lebih dan mahal jika kualiti hampir sama dan hasil kerja juga teliti serta boleh disiapkan dengan segera.
"Saya biasa mencari khidmat peniaga kaki lima jika ingin membaiki tapak atau menjahit kasut supaya tahan lama," katanya.
http://www.sinarharian.com.my/bisnes/ramai-masih-perlu-khidmat-peniaga-kaki-lima-1.308883
Dari kaki lima ke kiosk
DALAM kita mendengar rintihan peniaga kaki lima, tahukah kita beberapa peniaga kaki lima adakala beruntung bahkan boleh memperoleh pendapatan lumayan seperti orang makan gaji.
Misalnya seorang peniaga kaki lima tempatan yang enggan namanya dikenali ini bercerita. Hanya berniaga di kaki lima dia mampu membuka kiosk perniagaan dalam tempoh setahun selepas berniaga.
Menurutnya, dia yang berniaga kerepek serta kuih sekitar kaki lima Shah Alam hampir dua tahun mampu memperoleh pendapatan sekitar RM500 ke RM1,000 sehari.
“Kebiasaannya kalau hujung minggu memang boleh dapat pendapatan sekitar RM1,000 tetapi hari biasa sekitar RM500," katanya.
Kaki lima tak perlu modal besar
Ditanya mengapa memilih berniaga di kaki lima dia berkata, berniaga di kaki lima tidak memerlukan modal yang besar.
“Jika kita menyewa kedai sudah pasti kena ada modal yang besar dan juga perlu bayar sewa tinggi setiap bulan dan membebankan bagi yang ingin mula berniaga.
“Saya pernah buka kedai makan dulu tetapi tak menjadi dan gulung tikar. Sebab itu saya berniaga di kaki lima buat masa ini,” katanya.
Berharap hasilkan produk dan buka kedai sendiri
Setiap peniaga mengimpikan perniagaan mereka maju. Begitu jugalah penjual kerepek ini yang merancang membuka kedai sendiri.
“Saya berharap dalam masa terdekat mampu membuka kedai sendiri dan juga mengeluarkan produk buatan kami.
“Saya sudah ada pengalaman berniaga dan juga modal cuma belum masanya lagi kerana ia memerlukan perancangan rapi,” katanya.
Menurutnya, kerepek dan kuih yang dijualnya di kaki lima akan berbeza setiap minggu bagi memberi kelainan kepada pembeli.
“Itu merupakan strategi saya untuk menarik pembeli,’ katanya.
Dalam pada itu, kebanyakan kerepek dan kuih yang dijualnya bermula dari RM8 hingga RM80 mengikut paket dan berat dan kerepek pisang merupakan paling laris.
http://www.sinarharian.com.my/bisnes/dari-kaki-lima-ke-kiosk-1.308892
Last edited: