BTC USD 63,462.8 Gold USD 4,340.80
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Ribuan ikan mati dipercayai dituba

highway

Active+ Member
Messages
4,418
Joined
Oct 17, 2009
Messages
4,418
Reaction score
298
Points
46
Ribuan ikan mati dipercayai dituba
image.jpg

ikanmati

TEBUK PANCHUR – Penduduk kampung di sini digemparkan dengan penemuan ribuan ikan pelbagai spesies mati di dalam parit tali air kanan, pintu air satu kawasan Tebuk Panchur sekitar jam 9 pagi semalam.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tebuk Panchur, Faizul Redzuan Abd Samat berkata, beliau diberitahu penduduk di kawasan berkenaan yang menemui ikan pelbagai spesies mati di dalam tali air berkenaan.

Hasil maklumat itu katanya, pihak ketua kampung segera dihubungi sebelum beliau sendiri turun padang bersama penduduk membuat pemantauan di kawasan yang didakwa.

“Di tempat kejadian kami didapati ada tiga botol racun yang dipercayai digunakan untuk menuba tali air sepanjang lebih 4 kilometer.

“Selain ikan terdapat dua ekor burung Raja Udang dijumpai mati dipercayai selepas makan ikan di dalam tali air yang telah diracun,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Semanggol untuk siasatan lanjut.

Penduduk kampung turut bertindak menanam bangkai ikan di tali air berkenaan bagi mengelak binatang lain menjadi mangsa.

Selain belut, spesies yang menjadi mangsa termasuklah ikan seluang, haruan, belida, tereboi, lampam, udang, puyu dan sepat.


Sekat rezeki penduduk

KETUA Kampung Tebuk Panchur, Mohd Sharudin Mujini berkata, kemusnahan itu melibatkan rezeki penduduk di kawasan terbabit turut terjejas dan bekalan air minuman juga tercemar.

Katanya, dianggarkan sekitar RM10,000 dialami penduduk yang menjadikan ikan dari tali air berkenaan sebagai sumber pendapatan tambahan untuk kos sara hidup.

“Bayangkan harga semasa anak seluang untuk satu pot bernilai RM5 dan beribu ikan mati dengan anggaran keseluruhan lebih RM10,000.

“Kemusnahan ini memang merugikan mereka. Itu belum dikira dengan jualan ikan segar atau kering yang diusahakan secara kecil-kecilan oleh penduduk di sini.

“Selain itu kesan dari air yang telah diracun ini memerlukan masa panjang untuk pulih sepenuhnya sebelum selamat digunakan oleh manusia dan hidupan lain di dalam air.

“Saya sudah membuat rujukkan ke Jabatan Perikanan Daerah Kerian dan Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) untuk memeriksa kualiti air di sini dan alhamdulillah ke semua pihak berkenaan memberi kerjasama yang baik,” katanya.

Beliau turut mengarahkan pihak JKKK bertindak menutup pintu dan saluran di tengah-tengah tali air berkenaan bagi menghalang laluan air ke kawasan lain sebagai langkah berjaga-jaga.


Ada unsur jenayah: Sham

ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat menyifatkan tindakan pihak yang mungkin merancang mahu menangkap ikan dengan cara menuba satu tindakan kurang bijak dan berunsurkan jenayah.

Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja sia-sia dan membazir malah mendatangkan kesan besar kerana hidupan air akan pupus dan merugikan banyak pihak.

“Kita mengecam tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab ini dan meminta mereka menghentikan perbuatan yang tidak bermoral ini.

“Bagaimanapun, kita harap pihak polis menyiasat penjenayah ini agar perbuatan seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan.

Sementara itu, Adun Semanggol, Ramli Tusin berkata, pihak yang melakukan perbuatan itu boleh dianggap sebagai khianat kerana telah menjejaskan pendapatan penduduk sekitar.

“Saya harap pihak yang bertanggungjawab segera bertindak untuk menyiasat dan Jabatan Alam Sekitar perlu segera membuat kajian dan mengeluarkan amaran awal jika ia menjejaskan keselamatan penduduk sekitar.
 
Back
Top
Log in Register