combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Remaja Perempuan Hidap Skoliosis Perlu RM10,000 Jalani Pembedahan
Seorang remaja, Arissa El Zahra Reduan, memerlukan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi menampung kos pembedahan skoliosis yang dijangka dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 8 Sept ini.
Bapanya, Reduan Saad, 41, berkata dia hanya menyedari Arissa El Zahra, 13, menghidap penyakit itu ketika anak perempuannya berusia 10 tahun selepas mendapati kedua-dua bahunya tidak seimbang dan tulang belakang mula membengkok.
“Pada mulanya, saya nampak dia macam membongkok sedikit, tetapi lama-kelamaan saya perasan tulang belakang anak saya senget sebelah dan kedua-dua bahunya juga tidak seimbang.
“Perubahan itu menyebabkan saya dan isteri membawanya berjumpa dengan pakar ortopedik di HRPB pada 5 Jun 2024 dan mereka mengesahkan bahawa anak saya menghidap penyakit itu,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Utama, di sini hari ini.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata selepas disahkan menghidap skoliosis, Arissa El Zahra terlebih dahulu diberi rawatan menggunakan pendakap belakang bagi mengawal tahap kebengkokan tulang belakangnya sebelum pembedahan dapat dilakukan.
Reduan yang bekerja sebagai pembantu jualan berkata doktor tidak dapat terus melakukan pembedahan ketika itu kerana Arissa El Zahra masih terlalu muda dan perlu menunggu masa yang lebih sesuai berdasarkan perkembangan fizikalnya.
“Arissa El Zahra mula memakai pendakap tulang belakang itu sejak September tahun lepas dengan kos kira-kira RM2,500. Pendakap ini perlu dipakai hampir 24 jam sehari kecuali ketika mandi bagi membantu mengawal keadaan tulang belakangnya daripada terus membengkok.
“Walaupun agak tidak selesa pada peringkat awal, Arissa El Zahra tetap mengikut arahan doktor dan tabah memakainya setiap hari kerana dia faham rawatan ini penting sementara menunggu masa sesuai untuk menjalani pembedahan,” katanya.
Reduan berkata sepanjang tempoh memakai pendakap berkenaan, Arissa El Zahra perlu menjalani pemeriksaan susulan secara berkala bagi memantau perkembangan keadaan tulang belakangnya.