ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Orang ramai turut menyaksikan kebakaran itu.
DUNGUN - "Saya dengar dentuman seperti bom dan nampak objek seperti bola api berwarna putih melantun lalu terhempas di atas lantai. Api kemudiannya merebak dengan cepat ke dinding."
Demikian luahan Zainuddin Talib, 54, saksi pertama kejadian kebakaran yang memusnahkan hampir 100 peratus satu unit bangunan Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Ribat Assyafie di Jalan Helang 2, Taman Uda, Paka, di sini, kelmarin.
Dalam tempoh sebulan, tiga kali kebakaran berlaku di unit bangunan pusat tahfiz itu dan masyarakat setempat menyifatkan kejadian tersebut agak luar biasa kerana waktu kebakaran hampir sama iaitu antara jam 6 petang hingga 6.20 petang.
Cuba padam tapi api makin marak
Menurut Zainuddin yang merupakan pekerja sukarela di pusat pengajian itu, sebelum kejadian, dia berada di sekitar bangunan tersebut untuk meninjau keadaan sekeliling kerana proses pemasangan paip akan dilakukan.
Bagaimanapun katanya, dia terkejut apabila insiden aneh yang tidak disangka-sangka itu berlaku di depan mata.
"Kami rancang nak pasang paip. Saya dua tiga kali berlegar di lokasi dan ketika tiba di tepi pintu, saya dengar dentuman kuat seperti bom. Kelihatan satu objek bercahaya berwarna putih terhempas di atas lantai sebelum warnanya bertukar menjadi merah kehitaman.
"Bebola api itu kemudian menyambar wayar elektrik di dinding dan merebak di atas timbunan tilam yang didermakan orang ramai. Melihat keadaan itu, saya terus capai alat pemadam api dan cuba padam kebakaran, tetapi terkejut kerana api bertambah marak. Setelah usaha tidak berhasil, saya terus keluar dan menghubungi pihak bomba.
"Rasa macam tak masuk dek akal kerana mustahil api langsung tak padam apabila guna pemadam api. Sebelum ini memang pernah berlaku kejadian pelik, tapi kami tak sangka kebakaran berlaku tiga kali berturut-turut," katanya.
Sumbangan turut musnah
Sementara itu, pembantu pengurus pusat pengajian itu, Azam Halizan berkata, ketika kejadian, dia berada di lokasi berhampiran, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengawal kebakaran.
Bagaimanapun katanya, mereka bernasib baik kerana ketika kejadian, tiada sesiapa berada di dalam bangunan itu kerana semua pelajar keluar beriadah selepas solat Asar.
"Memang banyak barang dan perabot di dalam rumah kedai yang terbakar kerana ia bukan sahaja dijadikan dewan makan, tetapi juga tempat menyimpan barang yang didermakan orang ramai antaranya tilam, almari, karpet dan sebagainya kerana dua lagi unit milik pusat ini juga terbakar sebelum ini.
"Kerja baik pulih unit yang terbakar dalam kejadian pertama sedang dijalankan dan tinggal 30 peratus untuk siap, tetapi musibah berlaku lagi. Akibat kebakaran ini, kita menganggarkan kerugian mencecah RM120,000. Bahkan, kejadian ini lagi teruk berbanding dua kebakaran sebelum ini," katanya.
Operasi pusat tahfiz lumpuh 70 peratus
Bagi pengetuanya, Mohd Arif Al-Yamani pula, akibat ketiga-tiga kebakaran itu, Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Ribat Assyafie kini lumpuh hampir 70 peratus.
Menurutnya, pelajar pusat pengajian itu kini ditempatkan di sebuah inap desa yang ditanggung individu dermawan dan terpaksa diberi cuti kerana sesi pengajian tidak boleh diteruskan dalam situasi sekarang.
Malah katanya, mereka juga berkemungkinan akan ditumpangkan di pusat pengajian lain buat sementara waktu sehinggalah pusat pengajian itu pulih sepenuhnya nanti.
"Terdapat lebih kurang 35 pelajar menuntut di pusat pengajian ini, tetapi syukurlah tiada kemalangan jiwa yang berlaku.
"Sewaktu kejadian, saya tiada di situ kerana berada di Putrajaya atas urusan kerja dan hanya dimaklumkan isteri. Saksi kejadian juga ada menceritakan peristiwa pelik yang berlaku dan kami tidak tahu bagaimana perkara ini boleh terjadi.
"Kami tak tahu kenapa kejadian ini berulang-ulang dan hanya menimpa unit rumah kedai milik pusat tahfiz ini, sedangkan ia tidak bersambung di antara satu sama lain.
Malah selepas dua kejadian sebelum ini, kami sudah mengadakan doa selamat dan solat hajat untuk memohon perlindungan ALLAH SWT," katanya.
Menurut Mohd Arif lagi, pihaknya turut berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan dan bantuan sebelum ini.
Punca kebakaran masih dalam siasatan
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Paka, Muhammad Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan lebih kurang jam 6.05 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
"Seramai 12 anggota Bomba Balai Paka dengan dibantu anggota dari Balai Bomba Kerteh, dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan dua jentera.
"Punca sebenar kejadian masih belum diketahui dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.
Bagi sesiapa yang mahu menghulurkan dana, boleh menyalurkan sumbangan secara terus ke akuan Maybank 563082100889 atau Bank Islam 13044010039557 atas nama Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Ribat Assyafie, atau boleh juga menghubungi talian 013-90274114/019-5679881.