BTC USD 63,768.5 Gold USD 4,478.28
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Rakyat perlu berwaspada

ZONDA

Legendary Member
gem
Messages
14,904
Joined
Feb 8, 2011
Messages
14,904
Reaction score
46
Points
120
image.JPG

Sultan Mizan menyampaikan titah ucapan pada Istiadat Penghadapan dan Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri, semalam.​

KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengingatkan rakyat agar berhati-hati, berwaspada dan peka terhadap kemunculan anasir yang cuba mengganggu gugat keharmonian dan jalinan perhubungan yang erat serta mesra dalam kalangan rakyat negeri ini sejak sekian lama.

Baginda juga menasihatkan agar rakyat setia kepada negara dan menggunakan sebaik-baik kebijaksanaan akal kurniaan Ilahi, serta tidak terlalu dipengaruhi emosi yang pada akhirnya akan membawa kerugian besar kepada agama, bangsa dan negara.

"Rakyat beta perlu bersatu padu ke arah kebaikan dan tidak mencari jalan untuk bermusuhan sesama sendiri yang pada akhirnya akan hanya meruntuhkan perpaduan dan keharmonian yang telah dikecapi.

"Justeru, rakyat jelata haruslah saling menghormati antara satu sama lain serta tidak melanggar batasan, sensitiviti dan sempadan sesama sendiri dan antara agama.

"Beta harap kerajaan negeri ambil langkah yang sepatutnya terutama dalam memberikan penekanan dan kefahaman yang mendalam kepada generasi muda," titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Penghadapan dan Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri, sempena Sambutan Ulang Tahun ke-53 Hari Keputeraan, di Singgahsana Istana Syarqiyyah, di sini, semalam.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Titah baginda, hari ini persoalan akidah timbulkan pelbagai tafsiran dan pertikaian sehingga wujud segelintir umat Islam keliru.

Isu ini tidak seharusnya wujud, sedangkan umat Islam hakikatnya bertauhidkan kepada akidah yang sama, beriman kepada Tuhan yang Esa dan berkiblatkan ke arah yang sama.

"Oleh itu beta berharap kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) merangka program yang lebih menyeluruh ke arah pemantapan fahaman ajaran Islam yang sebenar dalam kalangan rakyat agar dapat menangkis anasir yang cuba mengikis dan memusnahkan kefahaman serta akidah umat Islam terhadap agama Islam yang sebenar.

"Beta menyarankan kerajaan negeri komited dalam usaha membela rakyat dengan menjadikan kebajikan rakyat sebagai agenda penting tanpa mengira kaum dan fahaman politik. Haruslah diingat bahawa kejayaan atau kecemerlangan sesuatu dasar kerajaan diukur dan ditentukan oleh rakyatnya," titahnya.

Sultan Mizan bertitah, segala perancangan dan dasar yang diguna haruslah mengambil kira kehidupan dan keperluan rakyat terutama golongan yang memerlukan perhatian.

Oleh itu, baginda menyeru semua pihak mengekalkan perpaduan, keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi hari ini sebagai landasan untuk membina kejayaan Terengganu yang lebih gemilang pada hari esok.
 
Back
Top
Log in Register