hiduprakyat
CG Top Poster Club

- Messages
- 26,254
- Joined
- Dec 6, 2010
- Messages
- 26,254
- Reaction score
- 1,661
- Points
- 201
Johor Bahru: Polis menahan dua wanita yang terbabit dalam kegiatan memberi pinjaman wang tidak berlesen atau ahlong dalam serbuan di Bukit Indah, Gelang Patah dan Ulu Tiram, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah berkata, dalam serbuan menerusi Ops Vulture itu, polis merampas peralatan yang digunakan untuk berhubung dan menawarkan pinjaman kepada mangsa.
"Antara peralatan yang dirampas ialah tiga set komputer, 236 telefon bimbit pelbagai jenama, modem dan mesin perakam waktu kehadiran pekerja.
"Polis percaya lokasi berkenaan dijadikan sebagai pusat panggilan atau 'call centre' kegiatan pemberi pinjam wang tanpa lesen atau ahlong," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Salleh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan maksimum RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Siasatan masih lagi dijalankan bagi mengesan ahli sindiket lain yang terbabit dalam kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen berkenaan.
"Polis menyeru orang ramai yang ingin membuat pinjaman supaya berurusan hanya dengan institusi kewangan yang berdaftar atau berlesen saja.
"Elakkan diri dari membuat pinjaman dari pemberi pinjam wang tanpa lesen atau ahlong kerana tindakan berkenaan akan hanya memudaratkan kehidupan anda," katanya.
Beliau berkata, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan pemberi pinjam wang tanpa lesen untuk menyalurkannya kepada Pegawai Risikan Operasi JSJK Johor, Asisten Superintendan Timmy Aheng, di talian 019-777 3728 atau IPK Johor di talian 07-225 4422.
Setiap maklumat yang diterima akan diambil tindakan sewajarnya.
== hmetro