kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,719
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,719
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Pulau Pinang Lulus Bantuan RM500 Kepada 6,572 Pesawah, Petani
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow semasa melawat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Pulau Pinang di Pinang Tunggal, di sini hari ini.
Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang meluluskan Bantuan Sara Hidup secara sekali beri (one-off) berjumlah RM500 kepada 6,572 pesawah dan petani sayur yang layak melibatkan peruntukan keseluruhan RM3.29 juta.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata bantuan kepada 5,567 pesawah padi dan 1,005 pekebun sayur itu sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh agenda keterjaminan makanan.
“Pembayaran bantuan akan dibuat dalam masa terdekat berdasarkan senarai petani berdaftar dengan Jabatan Pertanian Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Pulau Pinang di Pinang Tunggal, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan negeri Datuk Rashidi Zinol serta Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan dan Operasi MARDI Dr Sanimah Simoh.
Chow berkata bantuan itu turut memenuhi komitmen kerajaan negeri di bawah Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023, khususnya Tema 10: Keterjaminan Rantaian Makanan yang memberikan penekanan pada bantuan sara hidup kepada pesawah, pekebun sayur dan nelayan.
Beliau berkata Pulau Pinang mempunyai 11,858 hektar kawasan tanaman padi aktif yang diusahakan 5,567 pesawah dengan purata pengeluaran 4.69 tan metrik sehektar setakat ini, dengan beberapa kawasan merekodkan hasil pengeluaran padi yang amat tinggi.
Bagi sektor tanaman sayur, Chow berkata 1,005 petani menghasilkan 10,648 tan metrik sayuran pada tahun lepas yang membuktikan peranan penting komuniti petani dalam memastikan bekalan makanan negeri sentiasa mencukupi.
“Sehingga kini, Pulau Pinang telah mewujudkan 384 kebun komuniti dan kebun bandar daripada sasaran 500 menjelang 2030. Pencapaian ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memodenkan sektor pertanian secara mampan dan berteraskan teknologi.
“Dalam merealisasikan agenda ini, MARDI terus menjadi rakan strategik kerajaan negeri melalui pembangunan teknologi serta pemindahan ilmu kepada petani, pesawah, penternak, nelayan dan usahawan agromakanan,” katanya.