Viere
CG Top Poster Club

- Messages
- 26,579
- Joined
- Aug 8, 2008
- Messages
- 26,579
- Reaction score
- 179
- Points
- 123
NADZMI MOHD SALLEH
KUALA LUMPUR 9 Jan. - Persaingan lima pihak untuk menguasai Proton Holdings Bhd. (Proton) menyaksikan Kumpulan DRB-Hicom Bhd. (DRB-Hicom) sebagai calon terbaik.
DRB-Hicom, syarikat konglomerat senaraian awam yang turut dikuasai kepentingan oleh Tan Sri Syed Mokhtar, telah menawarkan harga lebih baik berbanding pesaingnya.
Persaingan untuk menguasai kepentingan pegangan Khazanah Nasional Bhd. kini melibatkan lima pihak termasuk General Motor (GM), Kumpulan Naza, Genii Capital dan Pengerusi Proton sendiri Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh.
‘’Pada pandangan kami DRB-Hicom adalah calon terbaik meskipun sudah memeterai perjanjian dengan Volkswagen, diikuti pula Kumpulan Naza yang merancang melakukan pemasangan tempatan untuk jenama Chevrolet,’’ kata OSK Research dalam nota penyelidikannya di sini.
OSK Research menyifatkan penjualan sebahagian kepentingan kilang Proton kepada GM merupakan cara terbaik untuk mendapatkan hasil tunai yang tinggi.
Bagaimanapun, sesetengah pihak pula menyifatkannya sebagai merugikan kerana masih terdapat calon pilihan tempatan dan Proton bakal kehilangan kawasan tanah yang boleh dibangunkan.
‘‘Kami difahamkan Kumpulan Naza berminat untuk membuat pemasangan kenderaan Chevrolet di Malaysia dengan nilai mengambil alih sebahagian kepentingan kilang Proton di Tanjung Malim dijangka RM800 juta dan GM dijangka menambah RM300 juta lagi untuk penambahan kelengkapan mesin.
‘’Dasar automotif tempatan yang ketat juga menjadi faktor utama GM akan menjalin kerjasama dengan Kumpulan Naza untuk mendapatkan lesen penghasilan kenderaan hibrid atau mewah dengan harga pasaran sekurang-kurangnya RM150,000 sebuah,’’ kata OSK Research.
Katanya, jika penjualan kilang Proton kepada GM gagal dilaksanakan mengikut perancangan, Proton boleh membuat perancangan yang hampir sama iaitu dengan menjalin kerjasama dengan Mitsubishi Motor Corp. dengan menghasilkan 60,000 buah kenderaan Jepun berkenan setahun untuk pasaran Asia Tenggara.
Menurut OSK Research, GM tidak akan beroperasi secara besar-besaran di Malaysia kerana gergasi automotif dunia berkenaan telah mempunyai kilang dengan kapasiti pengeluaran 180,000 buah setahun di Thailand.
‘‘Kami jangka perancangan GM di Malaysia hanya untuk pemasangan komponen terurai (CKD),’’ jelasnya.
Biarpun kehadiran Genii Capital, firma persendirian yang memegang kepentingan dalam Lotus Renault GP Formula One Team yang ditunjangi oleh Tan Sri Arumugam dan Gerard Lopez, menghangatkan lagi persaingan ia juga menimbulkan tanda tanya.
Setakat ini, harga yang ditawarkan oleh Genii Capital tidak diketahui dan belum ada sebarang kenyataan dibuat mengenainya.
Pada masa yang sama, difahamkan penglibatan pembida individu tunggal, Nadzmi juga telah mengejutkan pesaing dan para pemerhati industri.
Pengerusi Proton itu yang bertindak dalam kapasiti peribadi tidak mendedahkan nilai bidaannya, tetapi dipercayai nilainya adalah terendah berbanding pihak lain.
Nadzmi telah memberi gambaran awal jika berjaya dalam bidaan tersebut, akan membuat rombakan secara menyeluruh terhadap Proton dan menjual 80 peratus kepentingan dalam Lotus bagi mengurangkan risiko dalam syarikat berkenaan.