kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,716
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,716
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Projek Taman MADANI Sediakan Kemudahan Rekreasi Inklusif Di Nibong Tebal
Kawasan lapang Taman Belatuk di sini sedang dinaik taraf sebagai Taman MADANI bernilai RM467,896 bagi menyediakan kemudahan rekreasi yang lebih selesa, inklusif dan memenuhi keperluan komuniti setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang H’ng Mooi Lye berkata projek membabitkan kawasan seluas kira-kira 1.46 hektar itu merupakan antara tiga projek Taman MADANI yang dilaksanakan dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
“Kita mahu kawasan lapang bukan sekadar diwujudkan sebagai satu keperluan pembangunan malah juga benar-benar berfungsi sebagai ruang rekreasi, ruang interaksi sosial dan ruang hijau bagi komuniti setempat.
“Susulan penambahbaikan ini, kita berharap kawasan lapang Taman Belatuk dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat termasuk golongan yang memerlukan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU),” katanya pada sidang media selepas meninjau kemajuan projek itu di sini hari ini.
Beliau berkata secara keseluruhan, enam projek Taman MADANI sedang dilaksanakan secara berperingkat di Pulau Pinang, masing-masing tiga di bawah MBSP di Seberang Perai dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di bahagian pulau, dengan setiap projek menerima peruntukan RM500,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
H’ng berkata kerja naik taraf Taman MADANI di kawasan lapang Taman Belatuk bermula pada 5 Ogos lepas dan mengambil masa 24 minggu untuk disiapkan, dengan tarikh siap dijadualkan pada 19 Jan 2027.
“Antara komponen utama projek itu adalah pembinaan taman papan selaju seluas 850 meter persegi, laluan pejalan kaki dan laluan penyelenggaraan, dua dataran kawasan permainan, struktur bangku, tiang penghadang, penghadang motosikal serta kerja landskap,” katanya.
H’ng berkata pembinaan taman papan selaju dimasukkan dalam projek tersebut susulan permintaan yang dikenal pasti menerusi sesi libat urus MBSP bersama ahli majlis kawasan dan wakil penduduk, menyediakan kemudahan rekreasi lebih sesuai untuk golongan belia, sekali gus menjadikannya yang pertama dibina di Seberang Perai Selatan (SPS).
Dalam pada itu, beliau mengingatkan kontraktor supaya mematuhi spesifikasi dan syarat ditetapkan, dengan tindakan senarai hitam boleh dikenakan jika yang gagal berbuat demikian.