TXT
CG Super Hardcore Club






- Messages
- 459,505
Paid Membership
- Joined
- Mar 15, 2010
- Messages
- 459,505
- Reaction score
- 38,198
- Points
- 2,836
Program kejuruteraan di 6 IPTS dibeku
Jun 24, 2024 @ 10:30am
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya enam program kejuruteraan di enam institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), termasuk dua kolej yang bekerjasama dengan dua universiti awam (UA), kini tidak lagi diakreditasi oleh Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC).
Mendedahkan perkara ini, Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) berkata, ini susulan pengambilan pelajar bagi program kejuruteraan yang ditawarkan berkenaan kini beransur-ansur dibeku dan ditamatkan oleh IPTS terbabit.
BH difahamkan, antara program berkenaan membabitkan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dalam jurusan Elektrik dan Elektronik; Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Sistem Komputer dan Komunikasi; Sarjana Muda Bahan Kimia; Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Awam, Sarjana Muda Kepujian Elektronik dan Penkomputeran dan Sarjana Muda Kepujian Mekanikal.
Menurut LJM, enam IPTS berkenaan ialah Kolej Bandar Utama (KBU), Kolej KDU Kampus Pulau Pinang, Kolej UNITI, Universiti Nilai, Kolej Prime yang membabitkan program kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM), manakala Terengganu Advanced Technical Institute (TATI) pula membabitkan kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
"Antara punca utama penjumudan program berkenaan disebabkan bilangan kemasukan pelajar yang rendah diterima IPTS terbabit.
"Bagaimanapun, graduan terdahulu daripada program yang sudah ditamatkan masih boleh berdaftar dengan LJM sebagai jurutera siswazah," katanya kepada BH.
EAC adalah badan yang dipertanggungjawab oleh LJM untuk mengakreditasi program ijazah kejuruteraan yang ditawarkan di negara ini, dengan misi agar program pendidikan berkenaan memperoleh pengiktirafan dan amalan terbaik antarabangsa.
Selain LJM, empat lagi pihak berkepentingan yang menganggotai EAC ialah Institut Jurutera Malaysia (IEM), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Jabatan Perkhidmatan Awam dan majikan daripada sektor industri.
Kelmarin, media melaporkan lulusan ijazah kejuruteraan di negara ini yang diiktiraf EAC juga diperakui di 24 negara lain yang menandatangani Washington Accord (WA).
WA adalah perjanjian antarabangsa ditandatangani lembaga akreditasi pendidikan tinggi kejuruteraan yang bergabung dalam Perikatan Kejuruteraan Antarabangsa (IEA).
Antara negara penandatangan penuh WA adalah Australia, Kanada, China, Hong Kong, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Selain itu, Bangladesh, Taiwan, Costa Rica, India, Indonesia, Ireland, Jepun, Korea, Mexico, New Zealand, Pakistan, Peru, Filipina, Russia, Singapura, Afrika Selatan, Sri Lanka dan Turki.
LJM menegaskan program ijazah kejuruteraan yang diiktiraf EAC adalah setara dengan ijazah kejuruteraan semua 24 penandatangan penuh WA yang lain, sekali gus melayakkan jurutera dari Malaysia menjalankan amalan kejuruteraan di negara penandatangan WA, tertakluk kepada syarat pelesenan tempatan negara terbabit.
53 IPT dapat pengiktirafan
Dalam perkembangan berkaitan, LJM turut memaklumkan hanya 53 institusi pengajian tinggi negara yang menawarkan pengajian kejuruteraan diiktiraf oleh badan yang mengawal selia pentauliahan pengajian itu untuk berdaftar dengan LJM, seterusnya mengesahkan kemasukan siswazah ke dalam profesion berkenaan.
Katanya, ketika ini, sebanyak 131 program ijazah kejuruteraan di 17 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan 120 program lagi di 36 IPTS diiktiraf EAC dan masih ditawarkan.
"UTM mempunyai ijazah kejuruteraan paling banyak diiktiraf EAC dengan 39 program, diikuti Universiti Malaysia Perlis/UniMAP (21), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah/UMPSA (17), Universiti Sains Malaysia/USM (11) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/UIAM (9).
"Bagi IPTS pula, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampus Sungai Long dan Kampus Kampar (14), University of Nottingham Malaysia/UNM (10), Universiti UCSI (8), Curtin University Malaysia (8) dan Universiti Teknologi PETRONAS/UTP (7)" katanya.
LJM berkata, sejumlah 92 program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan diiktiraf di negara ini oleh Majlis Akreditasi Teknologi Kejuruteraan (ETAC) dan ia masih lagi ditawarkan.
"Ia membabitkan 18 IPT dengan paling banyak program diiktiraf adalah di Universiti Teknikal Malaysia Melaka/UTeM (15), UniMAP (13), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia/UTHM (14), Universiti Kuala Lumpur Kampus Cawangan Malaysia France Institute/UniKL MFI (7), UniKL Kampus Cawangan Malaysian Spanish Institute/UniKL MSI (5), UniKL Cawangan Malaysia Italy Design Institute/UniKL MIDI (6) dan UniKL Kampus Cawangan Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology/UniKL MICET (6)," katanya.
Selain program ijazah, ETAC juga mengiktiraf 274 program pengajian diploma kejuruteraan, yang membabitkan 73 IPTA/IPTS dan masih lagi ditawarkan.
"Politeknik Port Dickson (PPD) mempunyai pengajian diploma kejuruteraan terbanyak dengan 10 program.
"Ia diikuti masing-masing sembilan program di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Politeknik Ungku Omar (PUO), Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) dan Politeknik Kuching Sarawak (PKS)," katanya.
BH Online