kalo ako x silap cuba belek harian metro hari...
dah kantoi maaa...
Empat koperasi jalani perniagaan palsu dikesan
Oleh azian aziz
PETALING JAYA 11 Nov. - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) hari ini mendedahkan nama empat koperasi yang dikesan menawarkan peluang perniagaan, pelaburan dan kemudahan pinjaman palsu kepada orang ramai bagi mengaut keuntungan mudah.
Empat koperasi terbabit ialah Koperasi Nabinco, Koperasi Gagasan Berjaya Enterprise, Koperasi Usahawan Siswazah Gagasan dan Koperasi Siswazah Islam Malaysia.
Siasatan awal mendapati koperasi yang didalangi pihak tertentu dari kalangan syarikat dan individu tersebut masih baru beroperasi dan mereka menggunakan nama koperasi serta mendakwa telah berdaftar dengan SKM untuk mengelirukan orang ramai.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar ketika mendedahkan perkara itu berkata, SKM turut memantau kegiatan lapan lagi koperasi berdaftar dengan SKM yang dipercayai menjalankan pelaburan bercirikan skim cepat kaya.
Beliau berkata, nama lapan koperasi yang terlibat bagaimanapun tidak dapat didedahkan kepada umum buat masa ini, kerana masih dalam siasatan.
''Empat daripadanya telah sampai ke peringkat akhir. SKM dapat mengesan kegiatan yang menyalahi undang-undang ini selepas mendapat maklumat dan aduan daripada orang ramai.
''Jadi siasatan telah dibuat dan koperasi yang terlibat kini sedang dalam siasatan mengikut Seksyen 10A atau 10B Akata Koperasi 1993 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya," kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perniagaan Melalui Internet Dalam Gerakan Koperasi di sini petang ini.
Hadir sama Pengarah Maktab Kerjasama Malaysia, Idris Ismail dan Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Mangsor Saad.
Empat koperasi palsu yang dikesan itu, kata Noh, menawarkan peluang perniagaan dan pelaburan yang didakwa boleh memberi pulangan keuntungan dalam masa singkat, secara tetap, lumayan dan mengenakan kadar faedah amat tinggi serta tempoh bayaran yang terlalu lama iaitu sehingga 15 tahun.
Beliau memberitahu, mereka juga menawarkan perkhidmatan tersebut melalui pelbagai cara seperti iklan dan tawaran melalui internet, akhbar, e-mel, risalah dan menggunakan ejen.
''Selepas disiasat, didapati koperasi tersebut sebenarnya tidak wujud dan namanya juga tiada dalam senarai berdaftar SKM. Alamat yang diiklankan juga didapati palsu,'' kata beliau.
Mengenai lapan koperasi yang dipercayai menjalan skim cepat kaya kata beliau, koperasi ini akan menawarkan pulangan yang tinggi antara lapan peratus hingga 12 peratus sebulan atas modal pelaburan, pembayaran dividen tanpa asas, aktiviti perniagaan hanya bagi mengaburi mata dan sebahagian wang kutipan dilabur tanpa kajian serta secara tidak berhemat.
''Di sini saya ingin menegaskan tidak ada koperasi yang diberi kebenaran untuk melaksanakan aktiviti pelaburan sedemikian seperti yang dibuat lapan koperasi ini.
''Kita masih menjalankan siasatan dan akan mengambil tindakan tegas jika mereka didapati menjalankan kegiatan skim cepat kaya kerana kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang gagal mematuhi undang-undang berhubung skim ini,'' tegas beliau.
Sehubungan itu ujar beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat, aduan atau sebarang keraguan mengenai kegiatan sesuatu koperasi boleh menghubungi SKM di talian 03-2093 5098 sambungan 5805 atau 5828 atau fakskan ke talian: 03-2094 4272 atau 03-2093 5026 atau e-mel:
[email protected].