BTC USD 75,755.5 Gold USD 4,322.18
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Pontianak Menyamar Jadi Anggota Polis di IPD Betong, Sarawak

lempeng

Fun Poster
Messages
895
Joined
Dec 16, 2005
Messages
895
Reaction score
145
Points
23

PONTIANAK MENYAMAR JADI ANGGOTA POLIS DI IPD BETONG
Betong, Sarawak — Mei 2010




Bulan April 2010, anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah Betong mula berpindah ke bangunan baru mereka. Lokasi baru ni terletak kira-kira dua kilometer dari Jalan Kuek Huat Wee, bersebelahan dengan Stadium Betong — jauh lebih selesa dari pejabat lama yang dah uzur.

Bangunan bertingkat dua. Siap dengan pejabat pentadbiran, bilik siasatan, lokap tahanan, dan kuarters untuk anggota berkeluarga. Semua nampak elok. Bersih. Moden.

Tapi tak sampai sebulan...

Mula-mula, bisikan kecil je. Anggota yang bertugas syif malam berbisik sesama sendiri.

"Kau nampak tak semalam? Ada orang jalan kat koridor tingkat dua."

"Aku ingat kau yang jaga malam. Tapi bila aku tegur... dia tak jawab. Terus hilang."

Orang kata, mungkin salah tengok. Mungkin penat sangat. Kerja malam memang begitu, mata jadi kabur, fikiran jadi kusut. Tapi bila benda tu jadi berulang-ulang... susah nak kata tersilap pandang lagi.




Koperal Rizal (bukan nama sebenar) merupakan antara orang pertama yang diganggu.

Malam tu dia bertugas sorang-sorang kat kaunter hadapan. Jam dah pukul dua pagi lebih. Betong memang sunyi waktu tu. Bukan macam Kuching. Kat sini, lepas pukul sepuluh malam, jalan dah macam kampung mati.

Rizal tengah isi borang bila dengar bunyi langkah kaki.

‘Tap... Tap… Tap...’

Dia angkat muka. Nampak seorang anggota berpakaian seragam penuh, siap bertopi sedang berjalan dari arah koridor belakang menuju ke pintu utama.

"Ei, kau nak ke mana ni?" Rizal tegur.

Anggota tu terus berlalan, tak jawab dan langsung tak menoleh seolah tak dengar.

Rizal perasan sesuatu yang pelik. Cara dia jalan... terlalu perlahan. Dan bila Rizal cuba tengok muka dia...Muka tu sebijik sama dengan Koperal Fauzi. Kawan dia yang sepatutnya tengah cuti.

"Fauzi? Kau bukan cuti ke hari ni?"

Anggota tu berhenti. Pusing dan senyum. Tapi senyuman tu... lebar sangat. Sampai ke telinga.

Rizal rasa darah dia berderau. Dia pasti yang Fauzi memang tengah cuti. Fauzi balik kampung kat Sibu. Takkan dia ada kat sini pukul dua pagi kot? Tapi bila Rizal kelip mata sekali...

Anggota tu dah takde.




Kejadian macam tu bukan sekali dua. Ramai anggota lain pun turut terkena.

Ada yang nampak "rakan setugas" berjalan masuk ke dalam bilik rehat, tapi bila bukak pintu, bilik tu kosong. Ada yang dengar suara "ketua" panggil nama dari belakang, tapi bila pusing, takde siapa. Ada yang terserempak dengan anggota perempuan kat tangga…padahal IPD Betong masa tu takde anggota wanita bertugas syif malam.

Yang paling ramai nampak - wanita berbaju putih, rambut panjang, berjalan perlahan-lahan kat koridor tingkat dua.




Kepala Kat Tingkap.


Kalau setakat nampak dari jauh, boleh lagi tahan. Yang tak boleh tahan tu...

Bila dia jenguk kepala dari luar tingkap.

Kuarters pegawai terletak kat blok belakang, bersebelahan dengan bangunan utama IPD. Rumah teres dua tingkat, ada lima unit untuk keluarga pegawai.

Orang yang mula-mula kena usik ialah Isteri seorang inspektor yang bernama Kak Zai.

Malam tu, Kak Zai baru habis solat Isyak. Suami dia bertugas sampai pagi, jadi dia sorang-sorang dengan anak kecil yang dah tidur. Dia tengah duduk kat ruang tamu, tengok TV, bila rasa macam ada sesuatu kat luar tingkap. Tingkap tu menghadap padang kosong belakang kuarters.

Kak Zai pun toleh...

Ada MUKA.

Muka perempuan. Pucat. Rambut hitam legam berjuntai menutupi separuh wajah. Mata tu... Kak Zai cakap mata tu "macam takde putih, hitam je semua." Dan muka tu pulak tersenyum.

Lepas tu muka benda alah tu naik perlahan-lahan... seolah-olah badan dia terapung dari bawah tanah. Makin lama makin nampak seluruh badan - bahu, dada, tangan...

Kak Zai menjerit sekuat hati.

Suami jiran sebelahnya, seorang sarjan berlari datang tengok. Tapi bila dia sampai, dah takde apa-apa kat luar tingkap. Cuma tinggal bau macam bunga kemboja yang dah busuk.




Tapi kejadian yang paling menggemparkan IPD Betong berlaku pada minggu terakhir bulan Mei 2010.

Lan, seorang anggota penyiasat tengah bertugas lewat malam untuk siapkan fail kes. Jam dah hampir pukul tiga pagi. Pejabat siasatan kat tingkat dua, hujung koridor. Masa tu, Lan sorang je yang ada kat tingkat tu.

Dia dah penat. Mata dah kuyu. Fail pun dah hampir siap. Lan bangun dari kerusi, nak tutup pintu kaca pejabat sebelum turun bawah ambil kopi.

Bila dia nak pusing kunci kat pintu... Dia nampak PANTULAN kat cermin pintu kaca tu.

Ada seseorang berlari di belakang dia. Lan terpaku. Jantung dia berdegup kencang.

‘Siapa pulak yang ada dalam pejabat ni? Tadi takde orang pun.’

Dia pusing perlahan-lahan...
Takde siapa. Pejabat tu kosong.
Lan tarik nafas dan cakap dalam hati - ‘Dah penat sangat aku ni. Mula nampak benda-benda.’

Dia pusing balik nak teruskan kunci pintu. Tangan dia capai suis lampu kat dinding sebelah...

Dan dia NAMPAK.

Tepat di depan dia. Tak sampai dua kaki jaraknya, ada seorang perempuan. Muka pucat macam mayat. Mata hitam legam. Mulut ternganga luas. Dan rambut... Ya Allah, rambut tu berjuntai sampai ke lantai, berserabut macam akar pokok.



1774923520316.png


Lan tak ingat apa jadi lepas tu.

Yang dia tahu, dia terjaga kat bawah. Kat tanah. Kaki dia sakit. Tangan dia lebam. Anggota lain tengah kelilingi dia, muka semua cemas.

Rupanya Lan dah TERJUN dari tingkap tingkat dua.

Dia tak sedar pun dia lompat. Yang dia ingat cuma... muka tu. Dan bau busuk yang memenuhi seluruh ruangan.




Lepas kejadian yang menimpa Lan, pihak IPD tak boleh diam lagi.

Ketua Polis Daerah Betong masa tu, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, terpaksa bertindak. Bukan senang nak akui benda macam ni - polis patut jadi benteng keselamatan, bukan mangsa hantu. Tapi bila anggota sendiri dah mula takut nak bertugas malam, bila tahanan dalam lokap merayu nak dipindahkan sebab "ada orang lain" dalam sel yang kosong, bila isteri pegawai dah mula bungkus barang nak pindah keluar dari kuarters...

Tak boleh tutup mata lagi.

Seorang ustaz dipanggil.

Ustaz tu datang pada waktu senja. Dia buat tinjauan keliling bangunan IPD tu, dari pejabat utama sampai ke lokap, dari bilik siasatan sampai ke stor belakang. Dia juga singgah kat kuarters pegawai.

Bila dia keluar dari bangunan utama...

Mukanya berubah.

"Tempat ni ada sejarah," ustaz tu beritahu DSP Bukhori. "Sebelum jadi balai polis... tanah ni pernah jadi tempat kejadian jenayah yang sangat keji."

"Jenayah apa, ustaz?"

"Seorang perempuan. Dia dirogol. Lepas tu dibunuh. Mayat dia ditanam kat sini tapi tak dikebumikan dengan sempurna."

DSP Bukhori terdiam.

"Roh dia tak tenteram," ustaz tu sambung. "Dia masih cari keadilan. Dia masih cari orang yang buat dia macam tu."




Ustaz tu buat bacaan rukyah dan pembersihan selama tiga malam berturut-turut. Ada anggota yang ikut serta baca Yasin beramai-ramai, solat hajat, selawat.

Lepas tu... gangguan berkurangan. Bukan hilang terus. Tapi berkurangan.

Sesekali masih ada anggota yang nampak "sesuatu" kat hujung koridor malam-malam. Sesekali masih ada yang dengar bunyi langkah kaki bila takde siapa. Tapi yang melampau-lampau yang meniru rupa anggota lain, yang jenguk kepala dari tingkap, yang berdiri depan muka sampai orang terjun bangunan - tu dah takde.




NOTA SEJARAH:

Betong adalah sebuah pekan kecil di Bahagian Betong, Sarawak. Terletak kira-kira 150 kilometer dari Kuching, Betong dikelilingi oleh kawasan pertanian dan hutan, tanah yang menyimpan banyak rahsia dari zaman James Brooke lagi.

Kisah IPD Betong ini dilaporkan dalam Harian Metro pada 31 Mei 2010 oleh wartawan Alias Abd Rani. Ketua Polis Daerah Betong masa tu, DSP Mohd Bukhori Saffai, mengesahkan kejadian gangguan tersebut kepada media – walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut dengan alasan "kes ini bukan berkaitan jenayah."





Nota Penting:

Cerita-cerita dalam koleksi ini adalah adaptasi peribadi yang dikumpul dari internet, media sosial dan sebagainya. Ia diolah semula dalam gaya penulisan/naratif aku sendiri.
Kalau rasa cerita ni "macam familiar je" sebab pernah tengok kat tempat lain — mungkin sebab ada yang suka salin, tapi tak pernah faham jiwa.
Dalam dunia konten, idea ibarat nyawa — Tapi bila kau salin tanpa rasa, yang tinggal cuma kulit.

-lempeng-
 
Back
Top
Log in Register