Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,777
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,777
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Polis Pulau Pinang Perhebat Ops Soga XI, 31 Individu Ditahan Setakat Ini
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng
--fotoBERNAMA (2026) HAK VIPTA TERPELIHARA
Polis Pulau Pinang akan terus mempergiatkan Ops Soga XI bagi membanteras kegiatan pertaruhan sukan tanpa lesen dan perjudian dalam talian susulan kejohanan Piala Dunia FIFA 2026, yang kini memasuki peringkat separuh akhir.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata sejak operasi itu dilancarkan pada 11 Jun lepas sehingga kini, sebanyak 31 individu termasuk enam warga China ditahan menerusi serbuan ke atas 26 premis yang dipercayai dijadikan pusat operasi kegiatan berkenaan di seluruh negeri.
“Kita akan mempergiat operasi. Tiada hotspot yang spesifik kerana sekarang orang yang membuat pertaruhan haram ini boleh beroperasi di mana-mana seperti apartmen, rumah, kedai, malah guna telefon bimbit pun boleh.
“Sebab itu kita perlukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat bagi membantu mengesan sindiket, yang menjalankan kegiatan pertaruhan haram di negeri ini,” katanya pada sidang media bersempena dengan Majlis Pelupusan Barang Kes sempena Lawatan Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.
Lim berkata selain menahan individu yang bertindak sebagai ejen atau orang bawahan, pihaknya juga memfokuskan untuk menumpaskan pusat operasi pertaruhan, yang menjadi nadi kepada kegiatan perjudian haram.
Beliau berkata maklumat daripada orang ramai amat diperlukan bagi membolehkan polis mengesan dalang yang mengendalikan kegiatan berkenaan dan seterusnya melumpuhkan keseluruhan rangkaian sindiket perjudian haram.
Ops Soga XI dilaksanakan di seluruh negeri bermula 11 Jun hingga 19 Julai depan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama strategik pelbagai agensi berkepentingan, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Terdahulu, polis melupuskan pelbagai barang kes jenayah dan komersial bernilai RM1.27 juta membabitkan 565 kertas siasatan melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Timur Laut.
Antara barang kes yang dilupuskan ialah 1,722 karton rokok seludup, 1,913 botol minuman keras, 25 unit peralatan hiburan, 726 unit mesin judi serta 173,000 keping VCD dan DVD selepas memperoleh perintah pelupusan daripada mahkamah mengikut Seksyen 407(2) Kanun Tatacara Jenayah.