BTC USD 63,070.2 Gold USD 4,302.09
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Polis buru geng samun berkumpulan

ZONDA

Legendary Member
gem
Messages
14,904
Joined
Feb 8, 2011
Messages
14,904
Reaction score
46
Points
120
image.jpg

Kereta yang ditinggalkan oleh suspek. - Foto Sinar Harian​

KOTA BHARU - Polis Kelantan giat memburu lima lelaki yang aktif menjalankan kegiatan samun berkumpulan di beberapa daerah di negeri ini.

Tanpa mendedahkan umur kesemua suspek, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kumpulan berkenaan aktif sejak awal tahun ini dan telah melakukan empat kes samun iaitu di Tanah Merah, Kuala Krai dan dua di Kota Baharu.

"Kita sedang mengesan suspek ini dan menjumpai kereta yang digunakan suspek untuk melakukan samun di Gua Musang semalam. Pihak forensik sedang mendapatkan cap jari suspek.

"Fotofit kesemua suspek akan diedarkan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Rosli Abdul Rahman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan Supt Mit A/L Emong.

Mazlan berkata, modus operandi kumpulan ini adalah dengan membuat risikan awal terhadap rumah yang ingin disamun sebelum bertindak menyamun rumah berkenaan.

"Suspek tidak mencederakan mangsa sebaliknya mengikat mangsa sebelum mengambil barang berharga di dalam rumah mangsa. Kebanyakan mangsa adalah tauke-tauke Cina dan mereka menggunakan kenderaan mewah untuk beroperasi.

"Orang ramai yang melihat kenderaan mewah yang mencurigakan diminta berhati-hati," katanya.

Terbaharu, Mazlan berkata, kumpulan ini dipercayai melakukan samun di dua buah rumah iaitu di Taman Sri Bahagia di Kuala Krai dan Kampung Baung di sini, semalam.

"Mereka telah melakukan samun di sebuah rumah di Kampung Baung di sini pada pukul 8 pagi sebelum bergerak ke Taman Sri Bahagia di Kuala Krai dan menyamun
sebuah rumah pada pukul 2 petang.

"Mereka melarikan wang tunai serta barang berharga bernilai RM57,000 dalam dua kejadian samun itu. Suspek kemudiannya meninggalkan kenderaan yang digunakan di Gua Musang dan melarikan diri menggunakan bas ke Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. - Bernama
 
Back
Top
Log in Register