Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,928
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,928
- Reaction score
- 290
- Points
- 146
PN Sahkan Terima Notis Daripada RoS
Perikatan Nasional (PN) mengesahkan telah menerima dua notis daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini berkata notis berkenaan dikeluarkan di bawah subseksyen 13(2) dan subseksyen 13(2A), Akta Pertubuhan 1966, masing-masing pada Selasa dan Rabu lepas (22 dan 23 Sept).
“PN mengambil maklum keputusan RoS, namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut dan sedang mengambil langkah-langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia, demi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangannya yang didokong oleh ahli-ahli dan penyokongnya,” katanya.
Beliau turut menyeru semua ahli dan penyokong agar bertenang, selain mengeluarkan perintah larangan berkuat kuasa serta merta kepada mana-mana pihak daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan bagi pihak PN, kecuali Pengerusi dan Setiausaha Agung PN.
Terdahulu, RoS dalam kenyataan hari ini memaklumkan notis yang dikeluarkan terhadap PN bukan keputusan membatalkan pendaftaran parti itu, sebaliknya bagi memberi ruang kepada PN menjelaskan aduan yang dikemukakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
RoS memaklumkan notis di bawah subseksyen 13(2) dikeluarkan pada 22 Sept dan PN diberikan tempoh munasabah untuk menjawabnya manakala perintah penggantungan juga telah dikeluarkan di bawah subseksyen 13(2A) Akta 832, yang menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa semalam.
Pada 11 Ogos, RoS mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Bersatu berhubung dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.
Jabatan itu memaklumkan aduan berkenaan turut menyentuh isu berkaitan kedudukan keanggotaan Bersatu dalam gabungan berkenaan.