combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,186
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,186
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
PM Anwar Hadir Perarakan Citrawarna 2026
fb Tourism Malaysia Corporate
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar hadir ke Majlis Perasmian dan Perarakan Citrawarna 2026 di Dataran Merdeka hari ini, satu acara utama Tourism Malaysia bersempena dengan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Timbalannya Chiew Choon Man, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.
Citrawarna 2026 juga disokong oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Warisan Kuala Lumpur, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN), Istana Budaya dan Muzium Tekstil Negara, sekali gus mencerminkan komitmen bersama-sama untuk mempromosikan pelancongan seni, budaya dan warisan Malaysia kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Menerusi penganjuran itu, Acara Citra Perarakan menampilkan sebanyak 3,500 penari yang mewakili 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, serta masyarakat pelbagai budaya di negara ini.
Pengunjung disajikan dengan peragaan busana tradisional, persembahan muzik dan tarian serta pelbagai pertunjukan kebudayaan oleh kontinjen yang mencerminkan tradisi, kisah dan identiti yang menjadi asas kepada pembentukan jati diri masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Sementara itu, Tourism Malaysia dalam kenyataan memaklumkan Citrawarna 2026 berjaya menarik lebih 700 pelancong antarabangsa, menerusi pakej pelancongan yang dirangka khas melibatkan pelancong dari China, India, Mauritius, Jepun, Vietnam, Indonesia, Singapura, Kazakhstan, Itali, Belanda, Switzerland dan Perancis.
“Penyertaan mereka mencerminkan minat antarabangsa terhadap pengalaman pelancongan budaya Malaysia, di samping memberi peluang kepada para pengunjung untuk merasai sendiri warisan, tradisi dan hospitaliti negara,” menurut kenyataan itu.
Citrawarna 2026, yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, digerakkan menerusi empat komponen utama yang menjadi nadi sambutan seperti Citra Perarakan, Citra Rasa, Citra Budaya dan Citra Seni.
Acara itu menampilkan lebih daripada 70 gerai makanan dan minuman, 20 reruai aktiviti kebudayaan serta 10 reruai seni dan kraf tangan, di samping persembahan, demonstrasi warisan, permainan tradisional dan pengalaman interaktif.