Petronas lancar Primax 95 baharu
KUALA LUMPUR - Petronas hari ini melancarkan Petronas Primax 95 baharu dengan Pro-Drive yang menjanjikan pemanduan lancar, prestasi enjin responsif dan lebih cekap bahan api.
Pelancaran bahan api baharu itu disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Menara Berkembar Petronas di sini sebentar tadi.
Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Bhd. (PDB), Datuk Seri Syed Zainal Abidin.
Syed Zainal berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan dua pihak ketiga, iaitu Top Gear dan Paultan.org bagi menjalankan ujian bahan api baharu itu, melibatkan 200 kenderaan jenama popular tempatan dan asing selama enam bulan.
"70 peratus daripada peserta menyatakan prestasi bahan api baharu ini adalah lebih baik berbanding yang terdapat di pasaran.
"Kami melancarkan bahan api baharu ini sebelum Tahun Baru Cina supaya pelanggan berpeluang mencuba sendiri pengalaman menggunakan Petronas Primax 95 baharu dengan Pro-Drive ini," katanya sewaktu berucap pada majlis perasmian.
Sebagai inisiatif percubaan bahan api baharu itu, pelanggan akan menerima diskaun RM1 di Kedai Mesra dengan setiap pembelian RM30 Petronas Primax 95 baharu bermula 1 hingga 3 Februari depan di semua stesen Petronas seluruh negara.
Petronas Primax 95 baharu boleh mula didapati di stesen minyak Petronas hari ini.
Maklumat lanjut boleh didapati di
www.mymesra.my.
http://www.kosmo.com.my/terkini/petronas-lancar-primax-95-baharu-1.831724