ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Kucing amat sinonim menjadi haiwan peliharaan kepada manusia, maka tidak hairanlah ada sahaja pameran haiwan itu diadakan sama ada pada musim cuti sekolah mahupun hujung minggu.
Selain menjadi platform bagi pemilik kucing mempamerkan pelbagai jenis dan baka haiwan itu, pameran tersebut turut memberi hiburan serta mampu mendidik masyarakat untuk mencintai haiwan manja berkenaan.
Atas faktor itu juga, Kelab Kucing Malaysia (KKM) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya menganjurkan Festival Pencinta Haiwan Putrajaya 2015 (Palof) di Auditorium Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) baru-baru ini.
Kira-kira 200 ekor kucing daripada pelbagai spesies dan baka seperti Parsi, Norwegian Forest, Devon Rex, Cornish Rex, Bengal, Siam, Siberian, Birman, Angora, dan Turkish dipamerkan
Tidak ketinggalan pelbagai jenis kucing yang unik dan jarang dilihat.
Penganjuran yang berlangsung selama dua hari itu bukan sahaja mengumpulkan pemilik kucing, malah haiwan-haiwan peliharaan lain seperti arnab, iguana, ular, musang, prairie dog serta hedgehog.
Selain pameran haiwan turut disediakan pelbagai acara sampingan seperti pertandingan kucing berhias, pertandingan bunyi kucing, hiasan sangkar kucing, kuiz, gerai jualan dan juga pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.
Selain itu, Jabatan Veterinar turut membuka kaunter pendaftaran kad pengenalan dan pasport untuk haiwan peliharaan.
Orang ramai juga berpeluang mengambil kucing terbiar sebagai haiwan peliharaan mereka melalui pameran yang diadakan Persatuan Membantu Kucing Terbiar dan Anjing Jalanan Malaysia.
Terdapat juga gerai-gerai yang menjual aksesori serta alat permainan haiwan peliharaan seperti reben, cekak, baju dan bowtie.
Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid berkata, penganjuran kali pertama itu diadakan bagi memberi peluang orang ramai untuk melihat pelbagai jenis spesies dan baka kucing selain mengenali haiwan eksotik lain dengan lebih dekat.
Katanya, pameran yang diadakan secara percuma itu bukan sahaja memberi peluang peminat kucing bertukar-tukar maklumat tentang haiwan berkenaan, malah memberi ruang kepada mereka berkongsi maklumat dengan orang ramai.
Tambahnya, melalui pameran seumpama itu, masyarakat terutama kanak-kanak dapat meluangkan masa dengan aktiviti yang lebih bermanfaat bersama keluarga.
“Objektif pameran ini adalah untuk mengumpul penggemar haiwan daripada seluruh negara dan berkongsi pengalaman dan cerita menarik masing-masing.
“Pada pameran kali ini, kita menerima hampir 15,000 pengunjung dan kita berharap dapat menganjurkan pameran ini pada tahun depan,” katanya.
Gambar FACEBOOK KELAB KUCING MALAYSIA