ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
KUALA LUMPUR 20 Julai – Permohonan Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) untuk membatalkan saman Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berhubung penerbitan artikel bertajuk Hebat Sangatkah Adnan? dalam akhbar Mingguan Malaysia pada hujung tahun lalu akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini, Khamis ini.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam, Azhar Arman Ali yang mewakili syarikat penerbitan akhbar itu selepas pengurusan kes berkenaan di hadapan Hakim Datuk Yeoh Wee Siam di kamar hakim di sini hari ini.
Sekiranya, keputusan permohonan tersebut tidak berpihak kepada UMMB yang dinamakan sebagai defendan tunggal, kes itu akan mula dibicarakan pada 27 Julai ini, kata peguam itu.
“Kemungkinan kita (defendan) akan memanggil seramai 16 saksi tetapi ia masih belum diputuskan. Namun, yang pasti seramai tiga orang wartawan akan dipanggil memberi keterangan,” menurut Azhar.
Peguam, Americk Sidhu yang mewakili Adnan selaku plaintif turut mengesahkan perkara tersebut ketika ditemui media.
Katanya lagi, sekiranya kes itu diteruskan dengan perbicaraan, pihaknya hanya akan memanggil Ahli Parlimen Pelangai itu sebagai saksi.
Adnan memfailkan saman tersebut pada 5 Disember 2014 ekoran penerbitan artikel itu di bawah ruangan Analisis Mingguan Bisik-Bisik Awang Selamat yang disiarkan menerusi akhbar berkenaan pada 9 November lalu yang menyentuh mengenai isu di Cameron Highlands.
Menurut pernyataan tuntutannya, Adnan mendakwa, kandungan artikel itu secara amnya merujuk kepada beliau dan telah dibuat tanpa kepercayaan jujur berkenaan kebenaran atau ketepatan.
Plaintif juga mendakwa, kandungan artikel itu memfitnah beliau dengan serius apabila mengambil kira kedudukan dan reputasi kukuh beliau sebagai pemimpin negara yang telah lama memegang jawatan sebagai Menteri Besar Pahang.
Dakwa plaintif lagi, tuduhan-tuduhan dalam artikel tersebut adalah memfitnah beliau dengan mengambil kira makna biasa dan semula jadi yang membawa maksud antara lain beliau tidak mempunyai integriti, gagal melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar Pahang dan mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat negeri itu.
Selain tuntutan ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan ganti rugi teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya, beliau menuntut permohonan maaf dalam cara dan bentuk yang dipersetujui olehnya dan disiarkan di muka hadapan akhbar defendan.
Adnan turut menuntut satu aku janji oleh defendan bahawa tidak akan menyiarkan perkara-perkara fitnah terhadap plaintif pada masa hadapan.