ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Md Yunos (empat, kanan) Hazudin (dua, kanan) dan Zolkarnain (lima, kanan) menanam anak bakau menggunakan kaedah Penucukan Pancang.
PULAI - Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) memperkenal kaedah Penucukan Pancang menggunakan buluh bagi penanaman anak bakau sekali gus pertama kali dilaksanakan di pantai dalam Jasin.
Yang Dipertuanya, Hazudin Hashim berkata, kaedah tercetus melalui kolaborasi Politeknik Merlimau Melaka (PMM) dan agensi kerajaan itu, bukan sahaja mudah dilaksanakan malah mengurangkan risiko anak bakau hanyut dihempas ombak.
Menurutnya, pada masa sama ia mengelakkan kerugian memandangkan jumlah anak bakau yang ditanam biasanya beratus batang selain dapat menjaga ekosistem diversiti khusus di kawasan pantai.
"Idea penggunaan kaedah itu tercetus melalui PMM dan kita sasarkan untuk menanam anak bakau di sepanjang tepi pantai dari Umbai hingga Sungai Rambai.
"Kaedah ini juga menjamin pokok itu dapat membesar di kawasan tanaman terbabit dalam tempoh lebih lima tahun tanpa bimbang risiko anak bakau hanyut atau rosak," katanya.
Beliau berkata, masih terdapat beberapa kawasan persisiran pantai dalam Jasin mengalami masalah hakisan seperti di Umbai dan Merlimau.
Jelasnya, MPJ akan terus memperluas program seperti ini bagi mengurangkan dan menangani hakisan pantai.
"Ini juga usaha meningkatkan kesedaran masyarakat setempat mengenai kepentingan alam sekitar.
"Pada masa sama, program seumpama ini meningkatkan sinergi dan kolaborasi pelbagai agensi bagi membangkitkan semangat kesukarelawan dalam kalangan masyarakat," katanya.
Hazudin berkata demikian selepas Program Hijau Eco Bakau yang disempurnakan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md Yunos Husin di Jeti Nelayan Pantai Siring Kampung Pulai, semalam.
Hadir sama, Pengarah Politeknik Merlimau, Zolkarnain Jobshi.
Lebih 500 anak bakau ditanam di sepanjang Jeti Nelayan Pantai Siring yang turut disertai pelajar PMM.