tyco
Active+ Member

- Messages
- 4,115
- Joined
- Sep 16, 2010
- Messages
- 4,115
- Reaction score
- 1,680
- Points
- 111
SURUHAN AGAR BERIBADAH KEPADA TUHAN YANG PENCIPTA
[al baqarah Ayat : 21]
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa
SURUHAN AGAR SOLAT BERJEMAAH DAN MEMBAYAR ZAKAT
[al baqarah Ayat : 43]
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjema'ah) bersama-sama orang yang rukuk.
SURUHAN AGAR MENGINGATI ALLAH
[al baqarah Ayat : 152]
Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur.
SURUHAN AGAR TETAP DENGAN KESABARAN
[al baqarah Ayat : 153]
Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai orang yang sabar.
SURUHAN MEMAKAN REZEKI YANG HALAL LAGI BAIK
[al baqarah Ayat : 168]
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
SURUHAN AGAR BERWASIAT
[al baqarah Ayat : 180-182]
Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang yang bertakwa. Kemudian sesiapa yang mengubah wasiat sesudah ia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang yang mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu ia mendamaikan antara mereka maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
SURUHAN AGAR BERPUASA
[al baqarah Ayat : 183-185]
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan fidyah, maka itu adalah satu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.
Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah). Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan maka hendaklah ia berpuasa dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir (lalu ia berbuka) maka (wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.
SURUHAN AGAR MEMERANGI ORANG YANG MEMERANGI ORANG MUKMIN
[al baqarah Ayat : 190]
Dan perangilah kerana agama Allah akan orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang menceroboh.
SURUHAN AGAR BERBUAT BAIK DAN MENAFKAHKAN SEBAHAGIAN HARTA
[al baqarah Ayat : 195]
Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
SURUHAN AGAR MENUNAIKAN HAJI BAGI YANG MAMPU
[al baqarah Ayat : 196-203]
Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul, serta) sembelihlah binatang korban yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang korban itu sampai (dan disembelih) di tempat sembelihannya. Maka sesiapa di antara kamu sakit, atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia bercukur), hendaklah ia membayar fidyah iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau berkorban. Apabila kamu telah merasa aman, maka sesiapa yang ingin mengerjakan Umrah, sebelum ibadat Haji, (wajiblah menyembelih) korban yang mudah didapati. Kalau tidak didapati (binatang korban), maka wajib ia berpuasa tiga hari dalam masa Haji dan tujuh hari lagi apabila kembali (ke tempat masing-masing). Itulah sepuluh (hari) yang sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal tetap (disekitar) masjid Al-Haram (Mekah). Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan siksa-Nya (terhadap orang yang melanggar perintah-Nya).
(Musim) Haji adalah beberapa bulan yang termaklum. Maka sesiapa yang berniat mengerjakan ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan diketahui oleh Allah; dan berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa; dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal.Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan berzikir) di tempat Masyaril Al-Haram, dan berzikirlah kepada-Nya sebagaimana yang ditunjukkan kepadamu; sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang yang sesat.Kemudian bertolaklah kamu dari tempat bertolaknya orang ramai, dan mohonlah ampun kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.Apabila kamu telah selesai mengerjakan Haji kamu, maka berzikirlah mengingati Allah sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Ada di antara manusia yang berdoa: Wahai Tuhan Kami! Berilah kami (kebaikan) di dunia. (Orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.Dan di antara mereka pula ada yang berdoa: Wahai Tuhan kami; berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka."Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitungan-Nya.
Dan berzikirlah kepada Allah beberapa hari yang tertentu bilangannya. Maka sesiapa yang ingin segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa, dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; bagi orang yang bertakwa. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, dan ketahuilah, sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepada-Nya.
SURUHAN AGAR MENJALINKAN PERSAHABATAN DENGAN SEMUA MASYARAKAT
[AL HUJURAT Ayat : 13]Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.
SURUHAN AGAR MENYELIDIKI KESHAHIHAN SESUATU BERITA
[al hujurat Ayat : 6]Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.
Last edited: