RCI Tabung Haji: 4 bekas pengurusan kanan TH termasuk Datuk Seri antara ditahan SPRM, disyaki terima rasuah
PUTRAJAYA - Empat bekas pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji (TH) antara tujuh individu ditahan pada Jumaat bagi membantu siasatan berkaitan kes melibatkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Antara suspek ditahan termasuk seorang wanita terdiri daripada seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan TH berusia antara 50an hingga 60an.
Menurut sumber, kesemua suspek ditahan secara berperingkat kira-kira jam 3 petang hingga 10.30 malam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Suspek pertama iaitu CEO sebuah syarikat perkapalan bergelar Datuk berusia dalam lingkungan 60-an ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran matan palsu ketika membuat bayaran kepada TH.
Ia dipercayai membabitkan pemalsuan dokumen kontrak sebuah syarikat petroleum bagi kepentingan syarikat miliknya.
Dua lagi suspek masing-masing bergelar Datuk dan Datuk Seri berusia dalam lingkungan 60-an pula ditahan kerana disyaki memperdayakan pegawai TH supaya membuat pelaburan dalam sebuah syarikat pembinaan dengan menjanjikan potensi syarikat berkenaan disenaraikan di Bursa Malaysia.
Sementara itu, empat bekas pengurusan kanan TH berusia antara 50-an dan 60-an termasuk seorang bergelar Datuk Seri dan seorang wanita ditahan kerana disyaki terbabit dalam amalan rasuah.
Perbuatan itu dipercayai mendorong TH memasuki perjanjian pajakan empat hotel dengan sebuah syarikat di Arab Saudi berjumlah SR2.49 bilion yang menyebabkan kerugian kepada TH.
Bagaimanapun, hanya dua suspek lelaki iaitu CEO syarikat perkapalan dan pengarah syarikat pembinaan bergelar Datuk direman, manakala lima lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor masalah kesihatan.
Tahanan itu susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan SPRM bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Kredit

Sinar Harian