ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
PUTRAJAYA 17 Ogos –Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, polis menemukan sejumlah barang bukti kes yang dikaitkan dengan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain di beberapa tempat berasingan selepas mendapat maklumat daripada tiga bekas pekerja ladang, lima tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin berhujah, perayu kedua, R. Matan, 24, dan perayu keempat, R. Kathavarayan, 35, membawa pasukan polis ke Sungai Panchau dan menunjukkan tempat cebisan-cebisan tulang dan abu mayat dibuang.
Hujah beliau, kedua-duanya turut membawa saksi pendakwaan (PW32), Cif Inspektor N. Govindan ke Kunci Air Pasar Besar Banting dan menemukan tiga telefon bimbit jenama Blackberry masing-masing milik pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Pendakwa raya berhujah, selain kedua-dua perayu, seorang lagi bekas pekerja ladang, U. Suresh turut menunjukkan kepada Govindan tentang Jambatan Sungai Endah iaitu tempat seutas jam tangan Seiko Honda Racing Team milik pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, dibuang.
Dalam hujahnya, Saiful Edris turut berkata, Suresh (PW29) turut memberi maklumat kepada Govindan sehingga membawa kepada penemuan kunci kereta BMW X5 dalam longkang di USJ1, Jalan Persiaran Subang, Subang Jaya, dekat sini. Kereta itu digunakan oleh Sosilawati pada hari dia dilaporkan hilang.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan berhujah, hakim bicara tidak tersalah arah daripada segi undang-undang ketika menerima masuk maklumat yang membawa kepada penemuan barang bukti kes di sekitar Banting dan Subang Jaya.
Mahkamah sedang mendengar rayuan bekas peguam, N. Pathmanabhan, 45, dan tiga bekas pekerja ladangnya termasuk T. Thilaiyalagan, 23, (perayu ketiga) terhadap hukuman mati kerana membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin.
Mereka didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei 2013, melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting, Selangor antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.