balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
DUNGUN – Sebanyak 116 keping poster dan iklan haram diturunkan polis dan penguat kuasa Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dalam satu operasi yang dilakukan secara besar-besaran di beberapa lokasi sekitar Dungun dan Paka pagi semalam.
Operasi melibatkan empat anggota polis dan tujuh penguat kuasa MPD itu dibuat hasil aduan orang ramai berkaitan pinjaman wang secara haram yang diiklankan melalui poster yang ditampal di lokasi tertentu sekitar bandar ini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani berkata, operasi tertumpu sekitar jalan utama di bandar Dungun dan Paka selain kawasan perumahan.
Beliau berkata, sebelum ini pihaknya menerima pelbagai aduan daripada orang ramai tentang pihak yang menawarkan pinjaman melalui kaedah tidak sah sehingga wujud unsur jenayah seperti ugutan jika peminjam gagal melunaskan hutang tersebut.
“Operasi ini sebagai langkah pencegahan untuk melenyapkan segala iklan pinjaman wang secara haram yang meragukan.
“Kita nasihatkan orang ramai yang ingin memohon pinjaman agar pergi ke agensi kewangan yang disahkan oleh kerajaan untuk mengelakkan terjerat dengan pinjaman ah long sehingga boleh membebankan serta menyebabkan keharmonian hidup terjejas,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Saadiah Saat, 48, berkata, dia berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab menawarkan pinjaman haram itu.
“Sebelum ini ejen-ejen pinjaman wang itu bergerak bebas tanpa mempedulikan undang-undang. Mereka bertindak agresif dengan memberi ugutan jenayah kepada pemohon yang gagal melunaskan hutang mereka.
“Jadi usaha PBT menurunkan iklan seperti ini amat baik kerana ia boleh mencegah orang ramai daripada terjebak dengan perkara seperti ini,” katanya.