Tambah nilai saham melalui CIMB Clicks
PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan CIMB Bank (CIMB) melancarkan kemudahan tambah nilai dana Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) secara dalam talian melalui CIMB Clicks sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) ke-11 di Kuching, Sarawak, semalam.
Kemudahan terbaru itu membolehkan semua pelabur berdaftar ASNB yang mempunyai akaun CIMB Clicks membuat pelaburan tambahan dalam lima dana amanah saham harga tetap diuruskan ASNB.
Lima dana itu ialah Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Malaysia (ASM), Amanah Saham Didik (ASD), Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW2020) dan Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia).
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata memandangkan dana ASNB mendapat sambutan orang ramai termasuk pelanggan CIMB, bank berkenaan merasakan ia boleh menyediakan lebih banyak perkhidmatan tambah nilai kepada pelanggan dengan menawarkan kemudahan tambah nilai pelaburan secara dalam talian tanpa sebarang gangguan.