ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Keadaan dua pokok mati yang dikhuatiri tumbang dan mengancam nyawa pengguna jalan raya.
PENGKALAN KUBOR - Keadaan pokok mati di tepi jalan utama menghala ke Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor dikhuatiri akan tumbang pada bila-bila masa sahaja.
Lebih membimbangkan, beberapa hari lalu, seorang kanak-kanak yang menunggang basikal di jalan tersebut cedera apabila dahan patah menimpanya.
Penduduk, Azizah Senik, 40, berkata, dia amat risau pokok itu akan tumbang jika ada angin kencang atau ribut melanda kawasan ini.
"Pokok ini bila-bila masa boleh tumbang, saya harap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan segera.
"Kami tidak mahu kejadian pengguna jalan raya dihempap pokok berulang lagi kerana pernah ada penduduk meninggal dunia dihempap pokok di sini," katanya.
Menurutnya, terdapat dua pokok mati yang berada berdekatan rumahnya dan satu lagi berada di seberang jalan berhadapan sebuah kedai makan.
"Malang tidak berbau, saya khuatir pokok itu tumbang hempap kereta, hempap rumah.
"Lagi-lagi pokok yang dekat dengan rumah saya ini, saya bimbang risiko yang bakal kami sekeluarga hadapi berikutan masalah ini," katanya.
Katanya, dia berharap PBT menebang segera pokok mati itu dan memantau laluan ini kerana mungkin ada lagi pokok mati yang terlepas pandang.
"Sekali sekala, PBT kena pantau laluan ini, kerana sepanjang jalan ini memang ditanam pokok besar, mana-mana dahan yang berisiko patah perlulah ditebang," katanya kepada Sinar Harian.