ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Penduduk Greece meraikan keputusan pungutan suara apabila lebih 60 peratus pengundi menolak dasar supaya Greece melaksanakan langkah jimat cermat yang lebih ketat di Athens, kelmarin. AFP
ATHENS 6 Julai - Penduduk Greece, menolak untuk menerima syarat-syarat pemberi pinjaman supaya Greece melaksanakan langkah jimat-cermat yang lebih ketat berhubung krisis kewangan negara ini, apabila mengundi ‘tidak’ dalam pungutan suara yang diadakan semalam, menyaksikan pemimpin-pemimpin Eropah terpaksa menentukan kedudukan negara ini, sama ada masih kekal berada dalam blok Eropah atau tidak.
Dalam pungutan suara semalam, 61.31 peratus pengundi menolak untuk menerima syarat-syarat tersebut yang akan menyaksikan kerajaan terpaksa melaksanakan pemotongan perbelanjaan dan menaikkan cukai, usaha penolakan yang dipelopori Perdana Menteri, Alexis Tsipras.
Berdasarkan keputusan rasmi, pungutan suara itu yang disiarkan oleh Kementerian Dalam Negeri menunjukkan sebanyak 38.69 peratus pengundi menyokong polisi tersebut. Jumlah pengundi yang turun mengundi hanya sebanyak 62.5 peratus.
Portal al-Jazeera melaporkan, beribu-ribu penyokong kerajaan di pusat Athens bersorak gembira apabila keputusan tersebut diumumkan.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan Greek, Yanis Varoufakis mengumumkan peletakan jawatannya selepas keputusan pungutan suara tersebut diumumkan.
Varoufakis dalam satu kenyataan di laman blog peribadinya berkata, beliau berundur bagi membolehkan Tsipras mencapai perjanjian baharu dengan pemberi pinjaman dari Eropah.
“Selepas pengumuman keputusan pungutan suara dibuat, saya dimaklumkan pihak Eropah dan rakan-rakan lain, tidak mahu saya terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat akan datang, idea yang diterima oleh Perdana Menteri. Atas alasan ini saya berundur daripada Kementerian Kewangan hari ini,’’ katanya.
Pengumumannya itu dibuat ketika pemimpin-pemimpin Kesatuan Eropah (EU) menimbang maklum balas terhadap penolakan tersebut.
Canselor Jerman, Angela Merkel dan Presiden Perancis, Francois Hollande dijangka bertemu di Paris, hari ini selepas mengumumkan satu sidang kecemasan akan diadakan bagi membincangkan keputusan pungutan suara Greece itu.
Presiden EU, Donald Tusk berkata, persidangan itu akan diadakan esok.
Sementara itu, Tsipras berkata, Bank Pusat Eropah, Suruhanjaya Eropah dan Dana Kewangan Antarabangsa (MF) kini akhirnya perlu berbincang untuk menstrukturkan semula hutang Greece bernilai 240 bilion euro (RM1.011 trilion).
Beliau berkata, keputusan pungutan suara itu juga tidak membawa maksud Athens akan keluar dari EU. – AFP/Agensi