BTC USD 63,782.2 Gold USD 4,331.29
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Penculik dibayar RM680,000

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
KUALA LUMPUR: Demi menyelamatkan nyawa seorang ahli perniagaan warga Singapura yang diculik sekumpulan lelaki, ahli keluarganya terpaksa berusaha mengumpul wang tebusan AS$1 juta (RM3.4 juta) dalam tempoh tiga hari bagi membebaskannya.

Bagaimanapun, mangsa yang dikurung dalam bilik hotel di ibu kota dibebaskan selepas ahli keluarga berjaya mengumpul sebanyak AS$200,000 (RM680,000) sebagai ‘deposit’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa datang ke Kuala Lumpur untuk menjalankan urusan perniagaan, dua minggu lalu.

Menurutnya, mangsa yang berusia lingkungan 40-an diculik sekumpulan lelaki ketika berada di ibu kota.

“Mangsa dikurung dalam sebuah bilik hotel sebelum kumpulan lelaki terbabit menghubungi keluarga mangsa di Singapura untuk mendapatkan wang tebusan.

“Difahamkan, suspek memberi tempoh beberapa hari kepada keluarga mangsa untuk menyediakan wang tebusan sebanyak AS$1 juta (RM3.4 juta) sebagai pertukaran untuk menyelamatkan nyawa mangsa,” katanya.

Pada masa sama, kumpulan terbabit turut mengugut keluarga mangsa agar tidak membuat laporan polis.

“Tiga hari selepas itu, keluarga mangsa dikatakan menghantar seorang wakil ke Kuala Lumpur untuk berunding dan membayar wang tebusan itu. Namun selepas tawar menawar, wakil keluarga mangsa hanya mampu membayar wang tebusan sebanyak AS$200,000 (RM680,000).

“Kumpulan terbabit kemudian membebaskan mangsa namun masih sempat mengugut mangsa melunaskan baki wang tebusan itu jika gagal mereka akan menculik mangsa kembali,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian menimpanya.

“Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum memberkas beberapa suspek sejak seminggu lalu di beberapa lokasi sekitar ibu kota.

“Setakat ini, sembilan suspek berusia antara 27 dan 50 tahun yang disyaki terbabit dengan perancangan kes culik ahli perniagaan berkenaan sudah ditahan. Bagaimanapun, seorang lagi suspek utama masih bebas dan diburu,” katanya.

Menurutnya, antara suspek yang diberkas adalah pelajar, ahli perniagaan dan kakitangan kerajaan yang dikesan bersekongkol untuk menculik dan mengurung mangsa.

“Salah seorang suspek dikesan bertindak mengutip wang tebusan berkenaan namun menghilangkan diri sebelum sempat wang tebusan itu diagihkan kepada rakan-rakan ‘sekutu’ lain,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, polis sedang mencari seorang lelaki dikenali sebagai Ahmad Fahmy Hussein, dengan nombor kad pengenalan 810813-6-5013 yang tinggal di alamat terakhir di No A-18-03, Putra Mas 2 Kondominium, Kingsgate Tower, No 1 Jalan Putramas, 51200, Kuala Lumpur.

“Suspek dikesan sering menggunakan kereta model BMW warna hitam dengan nombor pendaftaran ABH 1.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi terus pegawai penyiasat kes di talian 016-3642535 (ASP Redzaime) atau Pegawai Operasi Bahagian Siasatan Khas Jabatan Siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Cif Inspektor, Rico Tay di talian 012--9355583,” katanya.
 
Back
Top
Log in Register