combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,165
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,165
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Pemansuhan AUKU Perlu Disusuli Perubahan Budaya Pentadbiran Universiti - Ahli Akademik
Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) hanya akan memberi makna sekiranya langkah itu disusuli perubahan budaya pentadbiran universiti, termasuk memperkukuh autonomi institusi serta menjamin kebebasan akademik dan perbezaan pandangan.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Romzi Ationg berkata kebebasan akademik perlu disokong dengan garis panduan yang jelas bagi membezakan antara kebebasan ilmiah dan tanggungjawab.
“Kebebasan akademik perlu dijamin melalui autonomi universiti, perlindungan terhadap perbezaan pandangan serta garis panduan jelas yang membezakan kebebasan ilmiah, aktivisme mahasiswa serta pelanggaran disiplin dalam suasana demokratik yang matang dan bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata mahasiswa sewajarnya mempunyai ruang untuk mengkritik kerajaan, dasar universiti atau pemimpin politik secara berfakta dan beradab tanpa rasa takut terhadap tindakan tatatertib, namun kebebasan itu perlu disertai tanggungjawab termasuk menghormati undang-undang, menjaga ketenteraman serta mengelak fitnah, hasutan dan ancaman terhadap keselamatan.
Romzi berkata apabila AUKU dimansuhkan, batas kebebasan mahasiswa tidak seharusnya ditentukan secara sepihak oleh kerajaan atau pentadbiran universiti, sebaliknya perlu berasaskan undang-undang yang jelas, prinsip hak asasi dan peraturan akademik yang munasabah.
Beliau berkata aspek semak dan imbang perlu diperkukuh menerusi badan tadbir urus universiti yang benar-benar berautonomi, prosedur rayuan bebas serta mekanisme aduan yang telus selain penglibatan wakil mahasiswa penting bagi memastikan keadilan serta akauntabiliti terpelihara.
“Pemansuhan AUKU tidak semestinya bermaksud kebebasan politik tanpa batas. Mahasiswa wajar diberi ruang berpolitik di dalam dan luar kampus tetapi tertakluk kepada undang-undang umum, peraturan keselamatan dan prinsip akademik. Yang penting, batas tersebut mesti munasabah, jelas, konsisten dan tidak digunakan untuk membungkam kritikan demi mematangkan demokrasi negara,” katanya.
Bagi penganalisis politik UMS Prof Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad, pemansuhan AUKU secara menyeluruh berpotensi merungkai struktur pentadbiran yang bersifat autokratik dan selama ini dilihat mengekang kebebasan bersuara golongan tertentu khususnya mahasiswa institusi pengajian tinggi.