balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
Muhammad Ikmalul Iktimam (berkerusi roda) bersama ibu bapanya menunjukkan keputusan cemerlang 7A 1B dalam SPM.
< 1 / 1 >
BACHOK - Biarpun hanya berkerusi roda sejak beberapa tahun lalu, namun berkat ketekunan seorang remaja yang menghidap penyakit misteri berjaya mencatat keputusan 7A, 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan, baru-baru ini.
Muhammad Ikmalul Iktimam Mahadhir, 18, menghidap penyakit misteri sejak usianya 13 tahun.
Bapanya, Mahadhir Ibrahim berkata, pada awalnya, anak sulungnya itu hanya sakit kaki kanan dan lemah untuk berjalan.
Tidak lama kemudian katanya, Muhammad Ikmalul tidak sedarkan diri dan setelah sedar, kakinya tidak dapat digerakkan selama enam bulan.
“Awal tingkatan dua, dia sembuh selama dua minggu dan sempat ke sekolah beberapa hari. Namun, balik dari sekolah dia jadi pening dan tak dapat berjalan semula hinggalah tingkatan tiga.
“Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dulu pun dia ambil di hospital. Lepas tu kami upah guru tuisyen untuk subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik, dua jam setiap minggu.
“Tak sangka pula dia dapat keputusan cemerlang. Alhamdulillah kami amat bersyukur dengan pencapaiannya,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di Kampung Badak di sini, kelmarin.
Ibunya, yang juga guru Sekolah Menengah Bachok, Norliza Arni Ghazali, 43, berkata, anaknya itu mempunyai semangat kuat dan berdisiplin menelaah pelajaran.
“Ketika di sekolah rendah, dia sangat aktif bersukan. Perkara pertama yang diminta ketika dia sembuh seketika ialah untuk main bola.
“Dia memang bersemangat dan disiplin tinggi. Kalau dia kata nak belajar empat jam sehari, dia akan buat ikut perancangannya,” katanya.
Bagi Muhammad Ikmalul pula, dia tidak sangka akan mendapat 7A, sebaliknya hanya menyasarkan 5A sahaja.
“Saya sasar 5A sahaja sebab subjek Agama, Ekonomi dan Bahasa Inggeris agak sukar.
“Dengan keputusan ini, saya harap dapat sambung pelajaran di universiti terdekat, mungkin di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang,” kata calon SPM di SMK Sri Gunung ini.
Difahamkan, pelbagai usaha dilakukan untuk merawat Muhammad Ikmalul, termasuk pelbagai kaedah moden dan alternatif.
Namun, hasil pemeriksaan teknologi moden, termasuk MRI tidak menyatakan sebarang penyakit saraf yang dihidapinya.
Kini, dia menjalani kaedah perubatan akupunktur di Kota Bharu.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/pelajar-sakit-misteri-dapat-7a-1.267505