Pelajar jurusan teknologi SG berdepan jangkaan lebih tinggi sedang AI bentuk semula pekerjaan
Seorang wanita melakukan pengekodan di komputer riba. (Gambar: iStock/oatawa)
SINGAPURA: Graduan baharu dari jurusan teknologi di Singapura bimbang kemahiran menulis kod sahaja mungkin tidak lagi mencukupi untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan.
Tinjauan melibatkan hampir 250 pelajar mendapati kira-kira lima daripada enam responden atau 83.3 peratus merasakan mereka memerlukan bantuan dalam pembangunan kemahiran teknikal dan huraian masalah.
IKLAN
Pertubuhan tidak mengaut keuntungan tempatan, YouthTechSG memberi amaran bahawa perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) meningkatkan standard bagi jawatan peringkat permulaan, dengan para majikan kini menuntut kemahiran yang lebih rencam.
KEBIMBANGAN DALAM KALANGAN GRADUAN BAHARU TEKNOLOGI
Fenomena 'vibecoding' yang muncul sejak kebelakangan ini memudahkan proses pengekodan, dengan AI mampu menjana kod dalam masa hanya beberapa saat.
Namun, bagi graduan baharu teknologi, perkembangan itu menimbulkan kebimbangan bahawa majikan akan mengharapkan mereka bekerja dengan lebih pantas.
Naib Presiden dan Ketua YouthTech Alliance, YouthTechSG, Lam Yik Ting berkata: "Kini, daripada menulis setiap baris kod secara individu, anda hanya perlu menggunakan ejen AI yang menjalankan tugas daripada pelbagai perspektif.
IKLAN
"Contohnya, satu ejen AI boleh mengesan kelemahan keselamatan siber, manakala satu lagi membantu mereka bentuk antara muka pengguna (UI) dalam sistem. Ini bermakna anda memerlukan set kemahiran yang berbeza, seperti memahami seni bina perisian dan bagaimana pelbagai modul digabungkan pada tahap yang lebih tinggi, berbanding hanya memberi tumpuan kepada setiap baris kod."
Para pemain industri turut berkata majikan kini mengharapkan graduan baharu mampu menghuraikan masalah perniagaan serta mengaplikasikan produk dalam situasi sebenar.
Selain itu, mereka juga dijangka bekerja dengan lebih pantas, lebih cekap, lebih berdikari dan memiliki kemahiran insaniah yang baik.
Tinjauan oleh YouthTechSG yang melibatkan 246 pelajar institusi pengajian tinggi mendapati bidang yang paling memerlukan bantuan ialah pembangunan kemahiran teknikal dan huraian masalah pada 83.3 peratus.
Ini diikuti oleh perancangan kerjaya dan pembangunan profesional pada 78.5 peratus, serta pembinaan rangkaian profesional pada 71.5 peratus.
IKLAN
"Ini menunjukkan jurang dari segi pembinaan projek masih wujud. Universiti bukan satu-satunya pihak berkepentingan yang perlu merapatkan jurang itu. Industri juga perlu memainkan peranan dengan menyediakan peluang kepada pelajar melalui latihan amali atau program bimbingan.
"Hanya selepas pelajar memperoleh asas daripada universiti dan pengalaman daripada industri, mereka akan mempunyai set kemahiran yang lebih lengkap untuk dibangunkan," kata Lam Yik Ting.
Selain berdepan jangkaan yang tinggi, pelajar teknologi turut berkongsi dalam sesi pertemuan bahawa mereka bimbang kandungan pembelajaran mereka mungkin tidak lagi relevan apabila tamat pengajian, memandangkan perkembangan AI begitu pesat.
Ada yang cuba mengatasi kebimbangan itu dengan mengumpulkan sebanyak mungkin pengalaman latihan amali dan mendapatkan kelayakan tambahan, malah ada yang sanggup ponteng kuliah untuk berbuat demikian.
Persatuan Komputer Singapura menyatakan universiti perlu terus memperkukuh asas pembelajaran sambil memasukkan AI ke dalam kurikulum.
IKLAN
Universiti juga perlu menyediakan lebih banyak peluang kepada pelajar untuk menyertai projek industri, kerjasama dengan syarikat dan huraian masalah dunia sebenar.
Pengurus Bersekutu Teknologi Michael Page, Neo Miao Xia berkongsi: "Majikan kini kembali menggunakan kaedah temu duga yang lebih tradisional, seperti ujian pengekodan secara langsung tanpa bantuan AI.
"Selepas seseorang mendapat pekerjaan, mereka boleh menggunakan pelbagai alat AI. Namun ketika proses temu duga, majikan masih mahu melihat sama ada graduan baharu benar-benar mampu melaksanakan tugas tersebut tanpa bergantung kepada alat pihak ketiga."
Para pakar berpendapat penguasaan asas tetap menjadi asas penting untuk mendapatkan pekerjaan, manakala sokongan daripada industri, institusi akademik dan badan profesional mampu membantu pelajar teknologi membina kerjaya dengan lebih berjaya.
Pelajar jurusan teknologi SG berdepan jangkaan lebih tinggi sedang AI bentuk semula pekerjaan
SINGAPURA: Graduan baharu dari jurusan teknologi di Singapura bimbang kemahiran menulis kod sahaja mungkin tidak lagi mencukupi untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan. Tinjauan melibatkan hampir 250 pelajar mendapati kira-kira lima daripada enam responden atau 83.3 peratus merasakan mereka...
