Pekira tumpu isu usahawan, anak muda
KUALA LUMPUR 20 Jun - Perkembangan suasana politik tempatan terus mencuri perhatian umum apabila sebuah lagi parti politik iaitu Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) ditubuhkan.
Parti yang berteraskan kepada perjuangan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) itu memfokus kepada isu-isu dihadapi oleh golongan usahawan khususnya dalam kalangan belia bawah 40 tahun yang didakwa dipandang sepi oleh parti-parti lain.
Presiden Pekira, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, penubuhan parti itu juga adalah rentetan daripada desakan ahli-ahli Ikhlas dari seluruh negara sendiri yang mahukan sebuah parti alternatif untuk membela golongan tersebut.
Katanya, parti itu secara dasarnya menyatakan sokongan kepada kerajaan sedia ada yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN).
“Kami akan memberi tumpuan kepada isu-isu usahawan dan juga golongan muda. Sejak 10 tahun turun padang saya dapat lihat, nilai masalah yang dihadapi oleh golongan ini, ada yang terbela oleh parti politik dan ada juga terabai, tetapi mereka datang dan percaya kepada Ikhlas.
“Dari situ, saya nampak sokongan yang diberikan. Kami komited membantu menangani kos sara hidup rakyat, khususnya usahawan serta belia,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Redzuan memberitahu, parti itu telah didaftarkan secara dalam talian pada Mei lalu dan sedang menunggu kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Katanya, selain daripada ahli Ikhlas sendiri, keahlian parti itu memberi tumpuan kepada pengundi-pengundi atas pagar. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pekira-tumpu-isu-usahawan-anak-muda-1.495341#ixzz4yeyju1Wp
© Utusan Melayu (M) Bhd