combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 23,563
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 23,563
- Reaction score
- 323
- Points
- 141
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin (kanan) menyoal sebahagian warga asing pada Op Pintas Mega Pemerdagangan Orang di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pengkalan 2, Pusing hari ini.
Turut sama Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Perak
Mohd Nizar Zakaria (dua, kanan).
Tidak pernah menerima gaji sehingga lima bulan antara nasib dialami 55 pekerja warga asing sebelum diselamatkan dalam Op Pintas Mega Pemerdagangan Orang di sebuah kilang di Pusing.
Operasi dijalankan pasukan 83 pegawai dan anggota PDRM bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 58 tahun yang merupakan majikan.
-- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tidak dibayar gaji sejak Disember tahun lepas sehingga terpaksa berhutang dengan kedai runcit berdekatan untuk meneruskan hidup, malah pasport juga dipegang majikan, demikian derita yang ditanggung 55 pekerja asing yang menjadi "hamba" di sebuah kilang dekat Lahat, di sini.
Bagaimanapun, kesengsaraan mereka serta enam pekerja tempatan itu berakhir apabila diselamatkan sepasukan anggota polis dalam serbuan bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi Op Pintas Mega Pemerdagangan Orang, pagi tadi.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata kesemua pekerja asing itu berumur lingkungan 19 hingga 45 tahun terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar dan Nepal manakala enam pekerja tempatan berusia 35 hingga 60 tahun.
“Kesemua warga asing yang ditahan itu merupakan lelaki manakala enam pekerja tempatan itu pula terdiri daripada tiga lelaki serta tiga wanita dewasa.
“Pihak polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 58 tahun dipercayai majikan yang berperanan sebagai pengurus di kilang yang telah beroperasi sejak 28 tahun lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di kilang memproses kayu untuk membuat perabot itu, di sini.
Noor Hisam berkata hasil maklumat yang diperoleh daripada beberapa mangsa memaklumkan mereka terpaksa berhutang dengan pengusaha kedai runcit berdekatan bagi membeli pelbagai barangan keperluan harian terutama makanan.
“Kita juga dimaklumkan bahawa kesemua pasport mangsa dipegang oleh majikan bagi memastikan mereka tidak melarikan diri dari kilang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata kesemua mangsa akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Pusat Perlindungan Ke-4 (RP4) Tanjung Kling, Melaka, hari ini.
“Kes ini akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.