afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Peguam Muhyiddin pertikai dakwaan pertemuan bincang Jana Wibawa
Bekas PM Muhyiddin Yassin berdepan 7 tuduhan berkaitan program Jana Wibawa, inisiatif kerajaan ketika wabak Covid-19 untuk bantu kontraktor Bumiputera. (Gambar Bernama)
Amer Hamzah Arshad merujuk pernyataan saksi Pengarah Urusan KCJ Engineering Sdn Bhd Azman Yusoff yang mendakwa timbalan setiausaha sulit Muhyiddin, Asmar Asmadi Abdullah Sani, menunjukkan senarai 10 projek Jana Wibawa yang diluluskan kerajaan.
Azman berkata, pertemuan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Parlimen itu berlangsung beberapa hari selepas perjumpaan peribadi bersama Muhyiddin di Tropicana Golf Club Damansara pada pertengahan Julai 2020.
Beliau mendakwa, Muhyiddin memberitahunya mengenai Jana Wibawa semasa pertemuan itu dan mengarahkannya berjumpa dengan Asmar untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Bagaimanapun, Amer mencadangkan, keterangan Azman mengenai senarai itu ialah rekaan semata-mata, menegaskan bahawa menteri kewangan ketika itu Tengku Zafrul Aziz, hanya mencadangkan istilah ‘Jana Wibawa’ menerusi surat kepada Muhyiddin pada 23 Julai 2020.
Amer: Jika kamu lihat surat itu, Tengku Zafrul cadangkan istilah Jana Wibawa kepada Tan Sri (Muhyiddin) pada 23 Julai 2020. Kamu tahu tentang perkara itu?
Azman: Saya tidak tahu.
Amer: Selepas itu, Tan Sri meminitkan surat itu pada 3 Ogos 2020 dengan menyatakan beliau bersetuju dengan cadangan Zafrul dan mula menggunakan istilah itu sejak hari tersebut. Kamu setuju?
Azman: Saya tidak setuju.
Azman bertegas bahawa Muhyiddin menyebut mengenai Jana Wibawa secara lisan semasa pertemuan peribadi mereka di kelab golf itu.
Amer kemudian mencadangkan bahawa pihak pendakwaan yang mengarahkan Azman untuk menyebut dakwaan itu di mahkamah.
Apabila ditanya sama ada beliau mempunyai bukti Muhyiddin menggunakan istilah Jana Wibawa sebelum 23 Julai, Azman menjawab beliau tiada bukti sedemikian.
Dalam pernyataan saksinya, Azman turut mendakwa, pada September 2020, beliau menyerahkan surat kepada Muhyiddin bagi memohon sokongan bagi projek pembinaan jalan yang menghubungkan Felda Bukit Jalor ke Gemas, Negeri Sembilan, melalui tender langsung.
Menurutnya, surat itu diserahkan kepada Asmar di PMO.
KCJ Engineering kemudiannya memperoleh projek Jana Wibawa bernilai RM62 juta tersebut pada 30 Julai 2021.
Amer mempersoalkan bagaimana surat itu boleh sampai ke Kementerian Kewangan sedangkan ia tidak diminitkan oleh Muhyiddin.
Amer: Tidak ada sekelumit bukti pun yang menunjukkan Tan Sri menyokong surat ini?
Azman: Saya tidak pasti.
Amer: Kamu setuju bahawa tiada langsung akuan penerimaan daripada Asmar, PMO mahupun Kementerian Kewangan?
Azman: Saya setuju.
Amer turut berhujah bahawa mustahil Asmar mempunyai senarai projek Jana Wibawa pada Julai, sebelum Muhyiddin meminitkan surat Tengku Zafrul pada 3 Ogos.
Azman tidak bersetuju, namun bersetuju bahawa hanya Asmar yang boleh mengesahkan kewujudan senarai sedemikian. Asmar bagaimanapun tidak disenaraikan sebagai saksi pendakwaan.
Amer seterusnya mempertikaikan ketepatan masa pertemuan Azman dengan Asmar, berhujah bahawa pertemuan itu tidak mungkin berlaku sebelum Muhyiddin mula menggunakan istilah Jana Wibawa susulan cadangan Tengku Zafrul pada 3 Ogos.
Azman tidak bersetuju.
Muhyiddin, 79, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk meminta rasuah berjumlah RM225.3 juta bagi Bersatu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd, Azman serta KCJ Engineering Sdn Bhd.
Dia turut berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity dan dimasukkan ke dalam akaun Bersatu di AmBank dan CIMB Bank.
Muhyiddin didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 1 Mac 2020 dan 8 Julai 2022.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Nurdin bersambung pada 14 Sept.