Secara kasarnya, pengiraan secara kWh adalah lebih senang dicongak, dan lebih adil dan saksama kerana ia sama seperti pengisian petrol. Tidak mengira keupayaan pengecas pada EV, dan kelajuan pengecas yang disediakan, setiap kapasiti bateri walau berbeza EV akan mempunyai harga yang sama. Seperti contoh Smart #1 dan Mercedes EQB 350 yang mempunyai kapasiti bateri yang hampir sama (66 kWh / 66.5 kWh) boleh dikatakan mempunyai caj pengecasan yang sama jika mengikut kWh, iaitu RM 69.30.
Namun sekiranya Smart #1 dan Mercedes EQB E50 ini pergi ke pengecas yang mengikut pembayaran secara minit, akan terdapat perbezaan tempoh pengecasan dan juga bayaran yang ketara. Ini kerana Smart #1 menyokong pengecasan AC 22kW DC 150 kW tetapi Mercedes EQB 350 hanya terhad kepada AC 11kW & DC 100kW jadi untuk tempoh satu yang sama bayarannya, jumlah tenaga yang dicas adalah berbeza. Seperti gambar diatas, walaupun pengecasan tersebut tidak memerlukan sebarang bayaran kerana langganan tahunan ChargEV, jumlah tenaga yang dicaj dengan beza 9 minit adalah sangat berbeza. Smart #1 Premium yang dicaj selama 43 minit dapat mengecaj 13.96 kW / sekitar 21% ( ~ 92km jarak perjalanan) berbanding Mercedes EQB 350 yang dicaj selama 52 minit dapat mengecaj 9.64 kW/ sekitar 14% (61.6km jarak perjalanan).
Jadi untuk tempat yang mengira pengecasan mengikut minit, adalah lebih baik untuk menetapkan masa yang tidak terlalu lama. Walaupun kereta anda mungkin menyokong pengecasan yang pantas, kita tidak akan tahu sekiranya pengecas tersebut boleh memberikan kelajuan maksimum. Video diatas merupakan satu situasi sewaktu saya mengelilingi Semenanjung dan singgah mengecas di Kuantan. Memandangkan ChargEV Starbucks Indera Mahkota gagal berfungsi, saya menuju ke Gentari Pesat CTM, Kuantan, Pahang dimana pembayarannya adalah RM 1.40 seminit dengan keupayaan pengecas sehingga 120 kW, namun saya tidak pernah melihat pengecas tersebut mengecas melebihi 60kW, menjadikannya kos pengecasan lebih mahal.
Dan sebagai perbandingan, saya juga mengecas di Gentari Hentian Sebelah Sg Buloh untuk tempoh yang lebih kurang sama dengan Gentari Pesat CTM, Kuantan. Gambar diatas menunjukkan kiraan per minit dengan tempoh sekitar 16 minit, dengan bayaran dan jumlah tenaga yang berbeza iaitu Sg Buloh mengenakan bayaran RM 2.20 seminit dapat mengecaj 22.8 kWh (~100km jarak perjalanan) berjumlah RM 37.40 sebelum diskaun, berbanding Pesat CTM yang mengenakan bayaran RM 1.40 seminit dapat mengecaj hanya 17.06 kWh (~75km jarak perjalanan) berjumlah RM 23.80. Walaupun pengecasan di Kuantan murah bayarannya, namun tidak banyak kuasa yang diperoleh berbanding Sg Buloh.
Seperkara lagi berkenaan minit, untuk pengecasan EV, terdapatnya istilah Lengkung Pengecasan ‘Charging Curve’. Dalam istilah ini, kebanyakan EV yang dipasarkan turut menyatakan kelajuan pengecasan DC dari 20-80% hanya sekitar 30 minit. Terdapat EV seperti Hyundai Ioniq 5 dan Kia EV6 yang boleh mengecas dari 10%-80% sepantas 18 minit sekiranya menggunakan pengecas 350kW. Akan tetapi untuk EV mengecas dari 80%-100% akan mengambil masa yang lebih lama. Jadi kebanyakan pengguna akan mengecas hanya sehingga 80%, dan akan pergi meneruskan perjalanan. Dalam graf diatas, anda dapat lihat kelajuan pengecasan mencapai lebih 100 kW sekitar minit ke-10, kemudian turun secara berperingkat bermula minit ke 13.
Dan gambar diatas menunjukkan beza harga semasa Gentari Hentian Sebelah Sg Buloh menggunakan kiraan mengikut minit, dan juga kiraan terkini Gentari yang mengikut kWh. Saya telah menggunakan pengecasnya yang berharga RM 2.20 per minit, dan kini ia hanya mengenakan caj sebanyak RM 1.50 per kWh. Jika dahulu saya mungkin perlu membayar RM 37.40, dengan caj per kWh saya hanya perlu membayar RM 34.20 untuk kuasa sebanyak 22.8 kW.
Bergantung kepada situasi, pada pengalaman saya sekiranya pergi ke pengecas berasaskan minit, pengguna perlu memastikan pengecas tersebut dapat memberikan tahap pengecasan maksimum namun memandangkan terdapat pelbagai pembolehubah yang boleh memberikan kesan, seperti keadaan bateri sekiranya terlalu panas yang boleh menghadkan kelajuan pengecas, atau kita sendiri tidak pasti adakah pengecas tersebut boleh diharap, ada baiknya memilih pengecasan berasaskan kiraan kWh. Dalam hal ini, penyedia pengecas yang menggunakan pengecasan Kempower harus dipuji kerana pengecas tersebut turut memberikan maklumat penuh mengenai status pengecasan seperti pengecasan dihadkan kerana sedang tenaga dikongsi antara kenderaan, atau had grid tenaga.
Tidak hairanlah terdapat pemilik EV yang berkata sejak JomCharge dan Gentari menukar pengiraan pengecasan dari minit kepada kWh untuk kebanyakan pengecas, mungkin sebelum ini banyaran pengecasan untuk tempoh sejam RM 6 dapat mengecas 22kWh, menjadi RM 22 kerana ia telah ditukar kepada pengiraan berasaskan kWh. Saya sendiri yang menggunakan BMW CE 04 (1-fasa) lebih gembira dengan kiraan sebegini kerana lebih berasaskan penggunaan tenaga walaupun terpaksa mengecas lebih lama. Jadi apabila ChargeSini menukar cara pengiraan kepada kWh, saya telah mula mengecas motorsikal saya di beberapa lokasi terpilih.
Diharap dengan panduan ini sedikit sebanyak memberikan pencerahan mengenai beza pengiraan pengecasan berasaskan penggunaan kWh dan penggunaan minit. Dan jika dikira dari faktor masa, ada baiknya apabila memilih EV, sekiranya perbelanjaan bukan satu isu, maka pilihlah EV yang mempunyai spesifikasi pengecasan AC & DC yang tinggi.
Sumber asal AMNZ